Jakim gesa semua pihak jangan ganggu siasatan daging seludup

Jangan ganggu siasatan daging seludup – Jakim

ABDUL AZIZ JUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menggesa semua pihak tidak memberi sebarang ulasan dan pandangan yang boleh menjejaskan kredibiliti kes daging seludup yang masih dalam siasatan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. 

Timbalan Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, ini kerana, ia secara tidak langsung boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat dan boleh menjejaskan pengimport dan pengusaha industri daging negara yang mendapat pengesahan halal yang sah. 

Katanya, sebarang komentar yang tidak disertakan dengan bukti yang kukuh boleh menyebabkan timbulnya isu lain yang dikhuatiri menjejaskan kepercayaan terhadap pensijilan halal Malaysia di peringkat domestik dan antarabangsa. 

“Semua pihak perlu menghormati proses tindakan yang sedang dijalankan pihak berkuasa dan semoga pihak yang bertanggungjawab dalam kes ini dapat dibawa ke muka pengadilan sewajarnya.

“Kerajaan menetapkan bahawa pengimportan daging dan produk daging hanya dibenarkan daripada abattoir atau loji pemprosesan yang diluluskan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS) dan Jakim,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Beliau berkata demikian bagi mengulas satu artikel isu berkaitan daging seludup yang disiarkan dalam akhbar tempatan. 

Abdul Aziz berkata, daging dan produk daging yang diimport perlu pengesahan halal dari badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh Jakim. 

“Pengimport juga perlu mengemukakan bersama sijil kesihatan daripada pihak berkuasa veterinar negara pengeksport dan kelulusan permit import dari Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) sebelum daging dan produk daging itu dibenarkan masuk ke pasaran negara ini.

“Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai isu penyeludupan daging dan penyalahgunaan kuasa hendaklah melaporkannya kepada pihak berkuasa yang berkaitan,” katanya. 

Sebelum ini, media melaporkan, terdapat sindiket yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging berkenaan dengan logo halal di sebuah gudang di Senai, Johor Bahru.

Perkara ini menyebabkan ramai pihak mahu kerajaan menyiasat secara bersepadu pendedahan wujud kartel yang terbabit dalam penipuan label halal, pemalsuan cap serta pembungkusan semula daging sejuk beku import untuk dijual semula ke pasaran negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya