Jabatan Pertanian Johor kesan 4,561 lot tanah terbiar

Jabatan Pertanian Johor kesan 4,561 lot tanah terbiar

SAMSOLBARI JAMALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Terdapat 4,561 lot tanah di negeri ini dikategorikan berstatus tanah terbiar selepas pemiliknya gagal dikesan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Samsolbari Jamali berkata, ia berdasarkan rekod Jabatan Pertanian Johor dengan membabitkan keluasan 10,097 hektar tanah.

“Tanah terbiar yang direkodkan di Johor tahun lalu mempunyai pelbagai masalah seperti tanah bermilik dengan kebanyakan tuan tanah sukar dikesan atau dihubungi secara terus oleh Jabatan Pertanian.

“Selain itu, tanah terhad kepada sesuatu jenis tanaman saja disebabkan faktor siri tanah dan kedudukan tanah yang rendah sering menghadapi masalah banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Sulaiman Mohd. Nor (PH-Kemelah) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini hari ini.

Sementara itu, Samsolbari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semarang berkata, Jabatan Pertanian menggalakkan usahawan tani dan pemilik tanah untuk mengusahakan tanah dengan aktiviti pertanian menerusi Projek Pembangunan Pertanian (Tanah Terbiar). 

Katanya, pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan bagi membangunkan tanah terbiar dengan aktiviti pertanian yang memberikan keuntungan kepada pengusaha dan pemilik tanah. 

“Objektif utama projek ini adalah bagi mengoptimumkan penggunaan tanah yang terbiar, meningkatkan pengeluaran tanaman makanan dan memberikan peluang kepada petani untuk menambahkan pendapatan.

“Pembangunan tanah terbiar merupakan satu daripada sumber asas yang memainkan peranan penting dalam membantu meningkatkan pengeluaran bahan makanan negara.

“Sebanyak RM725,000 disalurkan melalui peruntukan Persekutuan dan negeri bagi Program Pembangunan Tanah Terbiar membabitkan pembangunan sebanyak 59.48 hektar tanah terbiar dan memberi manfaat kepada 21 orang pemohon,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya