Hadkan bilangan negara import daging ke Malaysia -Mufti Johor - Utusan Malaysia

Hadkan bilangan negara import daging ke Malaysia -Mufti Johor

Datuk Yahya Ahmad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU : Kerajaan dicadangkan mengehadkan jumlah negara import daging halal ke negara ini di samping mengenal pasti syarikat terlibat agar mematuhi standard halal seperti ditetapkan pihak berkuasa agama.

Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad berkata, jumlah berkenaan kini dilihat sudah terlalu banyak sehingga menyukarkan pihak kerajaan mengawal syarikat pembekal agar dapat mematuhi garis panduan halal negara ini.

“Kini sudah sampai masanya kerajaan menghadkan syarikat diberi lesen mengimport daging halal luar negara dan hanya diberikan kepada syarikat dimiliki oleh orang Islam sahaja sama ada pemilikan penuh atau pemegang saham terbesar.

“Hal ini kerana hanya orang Islam sahaja yang boleh memahami sensitiviti makanan halal untuk umat Islam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai serbuan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) ke atas sebuah gudang di Senai yang menyimpan daging sejuk beku ke negara ini dan membungkus semulanya dengan logo halal palsu.

Berdasarkan siasatan awal, daging sejuk beku yang diseludup masuk itu datang dari Brazil, China, Ukraine dan Argentina.

Dalam pada itu, Yahya berkata, syarikat daging tempatan tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada pengesahan halal negara import semata-mata kerana terdapat sesetengah hanya dikeluarkan oleh pertubuhan masyarakat Islam.

Ujarnya, di samping itu keupayaan pengesahan sembelihan daging di negara itu untuk mengikut piawaian masih belum diyakini sepenuhnya.

“Sebaliknya mereka perlu sentiasa merujuk mendapatkan pengesahan kepada Jabatan Agama Islam Negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) selaku pihak terlibat memproses dan mengeluarkan persijilan halal,” katanya. 

Beliau mencadangkan kepada kerajaan agar menghantar pegawai pengesahan halal dari Malaysia untuk ditempatkan di syarikat penyembelihan dan ladang ternakan lembu terpilih agar pemantauan dapat dibuat pada setiap masa.

Mengulas lanjut, Yahya menggesa pihak berkuasa agar mengenakan tindakan tegas terhadap pihak terlibat termasuk mereka bersekongkol supaya memberi pengajaran kepada mereka yang cuba ingin membuat untung besar dengan cara tidak beretika itu.

“Sikap mengutamakan keuntungan yang tinggi dengan mendapatkan bekalan daging murah tanpa mempedulikan status halal kemudian menjualnya mengikut harga pasaran adalah sikap tidak wajar diamalkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya