fbpx

18 Januari 2021, 12:06 pm

  TERKINI

Cukai industri rokok elektronik terlalu rendah

NILAI cukai yang diusulkan untuk industri rokok elektronik terlalu rendah daripada apa yang dikenakan ke atas industri tembakau. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kadar cukai peranti rokok elektronik serta cecairnya adalah jauh lebih rendah berbanding industri tembakau, sedangkan potensi kerajaan untuk meraih pendapatan adalah besar.

Menurut kenyataan MQ Consultant, ini kerana ramai perokok tembakau dunia termasuk di Malaysia semakin beralih kepada rokok elektronik.

MQ Consultant adalah sebuah syarikat penyelidikan dan teknologi tempatan yang terlibat dalam melakukan kajian mendalam terhadap industri rokok elektronik di negara ini.

“Nilai cukai yang diusulkan untuk industri rokok elektronik terlalu rendah daripada apa yang dikenakan ke atas industri tembakau.

“Langkah mengenakan cukai merupakan langkah pertama yang penting dalam mengawal selia pertumbuhan industri rokok elektronik (pasaran rokok elektronik di Malaysia diunjur muncul sebagai yang kedua terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat), dan berikutan perbezaan ketara antara kedua-duanya (rokok elektronik dan tembakau), satu kajian yang teliti ke atas struktur cukai perlu dilakukan. Kita tidak boleh menggunakan satu ukuran atau struktur cukai sesuai untuk semua,” jelas MQ Consultant.

Dalam pembentangan Belanjawan 2021 baru-baru ini, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, duti eksais sebanyak 40 sen untuk setiap mililiter cecair rokok elektronik akan mula dikuatkuasakan mulai Januari 2021.

Berdasarkan perkembangan di peringkat dunia, Malaysia boleh dikatakan agak lambat dalam mengenakan cukai ke atas rokok elektronik namun usaha sedang digerakkan untuk mengawal selia dan memastikan industri berkenaan berkembang pesat dengan cara yang lebih teratur.

Di peringkat Asia, Indonesia, Filipina dan Korea telah memperkenalkan cukai ke atas rokok elektronik seawal 2011 dan ketiga-tiga negara itu mengenakan tarif cukai yang lebih tinggi berbanding di Malaysia.

MQ Consultant menegaskan, cukai yang rendah itu merupakan satu kerugian kepada Malaysia kerana sepatutnya dinaikkan bagi semua cecair rokok elektonik.

Malah katanya, cukai itu boleh dijadikan sebagai sebahagian langkah mengawal tabiat merokok.

Sebagai perbandingan di Indonesia, cecair rokok elektronik (kecuali yang diisi dalam ‘pod’) dikenakan cukai sehingga 57 peratus, empat kali ganda daripada kadar eksais maksimum ke atas rokok tembakau biasa.

“Isu-isu berkaitan penggunaan rokok elektronik memerlukan kajian rapi dilakukan oleh pihak Kerajaan dan cadangan untuk mengenakan cukai yang tinggi boleh dilihat sebagai satu langkah pencegahan yang baik, berbanding mengharamkan penggunaannya,” katanya.

MQ Consultant menambah, melalui kajian dan maklumat yang sedang giat dikumpul di dalam dan luar negara, kerajaan boleh menggunakan rokok elektronik sebagai alat ke arah mewujudkan masyarakat bebas asap rokok yang diakui memudaratkan perokok dan juga orang ramai.

“Usaha ini bukanlah sekadar satu eksperimental semata-mata, kerana New Zealand sendiri telah berbuat demikian dalam usaha mencapai matlamatnya, menjadikan negara pulau itu bebas asap rokok pada 2025,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

BERITA BERKAITAN