Covid-19 tak halang perkasa sektor awam - Muhyiddin

Covid-19 bukan halangan perkasa sektor awam – Muhyiddin

MUHYIDDIN Yassin menyampaikan ucapan secara maya ketika merasmikan Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Tritahunan ANULAE Kali Ke-27 di MITC, Ayer Keroh, Melaka. - FOTO/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Penularan Covid-19 tidak sepatutnya menjadi penghalang dalam melaksanakan usaha-usaha memperkasakan sektor awam ke arah memastikan sistem perkhidmatan yang cekap, telus dan mesra rakyat.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kakitangan awam perlu membudayakan norma baharu dalam cara kerja supaya perkhidmatan kerajaan dapat disampaikan secara efektif kepada golongan sasar. 

Kata beliau, dalam meneruskan agenda itu, kerajaan juga telah menekankan inisiatif untuk menambah baik aspek integriti dan tadbir urus termasuk melalui usaha membanteras amalan rasuah.

“Oleh kerana pihak berkuasa tempatan (PBT) merupakan antara warga kerja barisan hadapan yang sering terdedah dengan tarikan rasuah, maka usaha membanteras jenayah ini perlu kekal sebagai agenda penting yang perlu dilaksanakan meluas dalam kalangan penjawat awam. 

“Ini agar kita dapat mewujudkan sebuah budaya kerja yang berintegriti tanpa berkompromi dengan mana-mana nilai dan etika,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap secara maya semasa Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Tritahunan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (ANULAE) Kali Ke-27 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini hari ini. 

Turut hadir Presiden ANULAE, Datuk Azih Muda dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Adnan Mat.

Selain itu, Muhyiddin turut menyeru agar PBT dan agensi yang berkaitan dapat turun ke lapangan dengan lebih kerap bagi meninjau dan memahami keadaan semasa dan meneliti isu-isu berhubung warga kakitangan yang saban masa bertemu dengan orang ramai bagi menyelesaikan urusan seharian.

“Saya berharap kesatuan berkaitan akan terus memainkan peranan sebagai ‘mata dan telinga’ dalam komuniti setempat dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan agensi-agensi di bawah kerajaan negeri termasuk PBT.

“Persidangan perwakilan ini merupakan peluang buat semua warga ANULAE untuk berbincang dan menyuarakan pandangan tentang isu-isu berkaitan kebajikan ahli, justeru, semua pihak perlu bekerjasama memastikan hak dan kebajikan setiap kakitangan awam dapat dipelihara dengan sebaik-baiknya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya