KUALA LUMPUR: Dakwaan kononnya sistem bank dalam negara tidak selamat merupakan satu tindakan yang melampau dan menghina sistem keselamatan perbankan yang wajib melalui saringan daripada Bank Negara Malaysia sebelum digunakan.Bercakap dengan Utusan Malaysia, perunding Teknologi Maklumat, Ridzman Azzahari berkata sistem keselamatan perbankan dalam negara sentiasa dinaiktaraf bagi memastikan keselamatan pengguna sentiasa terjamin.
“Beliau mendakwa sistem perbankan yang diguna pakai dalam negara adalah ‘cucu’ sistem yang digunakan bertahun dahulu namun begitulah sistem-sistem ini dinaiktaraf,
“Zaman dulu, sistem itu dibuat mengikut apa piawaian yang ada serta mengikut kapasiti tertentu pada masa itu sahaja. Kini zaman dah berubah dan ia turut mengikut peredaran zaman serta keserasiannya mengikut kesesuaiannya dengan risiko masa kini,” katanya semalam.
Mingguan Malaysia semalam melaporkan terlalu banyak kelemahan dalam sesetengah sistem perbankan di negara ini membolehkan penggodam memintasnya sekali gus merisikokan wang pendeposit hilang.
Bekas penggodam, Aman Shah Ahmad yang juga pakar teknologi maklumat (IT) mendakwa, sistem yang digunakan oleh beberapa bank di Malaysia bersifat copy and paste daripada sistem terdahulu.
Walau bagaimanapun, Ridzman menyangkal dakwaan bekas penggodam tersebut dengan menegaskan bahawa setiap sistem keselamatan harus mendapatkan kelulusan daripada Bank Negara sebelum boleh terus menggunakannya.
“Sistem tersebut bukannya sesuatu yang kita boleh beli hari ini dan dapat esok. Sistem ini mengambil masa untuk dibina maka perinciannya juga dititik beratkan.
“Bukan sahaja sistem sekarang lebih baik daripada sistem keselamatan perbankan yang kita ada sebelum ini tetapi ia juga menepati setiap piawaian sekuriti yang kita ada pada zaman sekarang,” katanya.
Aman Shah mendakwa program bersifat terbuka (open source) mengakibatkan wujud kelompongan dalam sistem perbankan yang membolehkan penggodam memintas sistem keselamatan sesetengah bank dengan mudah.
Ridzman berkata, sistem keselamatan perbankan dalam negara telah melalui pelbagai proses saringan dan bukan begitu mudah untuk menggodamnya.
“Tidak dinafikan setiap sistem sudah tentu ada lompongan dan tidak sempurna tetapi bukanlah sehingga menjejaskan keselamatan akaun bank pengguna dalam negara ini,” ujarnya. – UTUSAN










