SEREMBAN: Sebarang perbincangan mengenai kerjasama dan pembentukan Perikatan Nasional (PN) belum berlaku di peringkat negeri ini.
Pesuruhjaya Pas negeri, Rafiei Mustapha berkata, pihaknya berpegang kepada keputusan di peringkat pusat iaitu mengekalkan hubungan antara parti dalam Muafakat Nasional (MN) dan pada masa yang sama menjaga hubungan dalam Perikatan Nasional (PN).
Katanya, struktur dan kerjasama MN di Negeri Sembilan semakin kukuh dan erat namun bagi PN pula tidak ada lagi perbincangan mengenai pembentukan serta kerjasama menerusi gabungan politik tersebut.
“Dalam MN, Pas dan UMNO kita memang kerap berjumpa dan bermesyuarat, cuma PN setakat ini belum lagi diputuskan siapa yang akan jadi Pengerusi di peringkat negeri. Kita masih menunggu keputusan itu.
“PN di peringkat kebangsaan sudah wujud, sudah ada struktur organisasi tetapi di Negeri Sembilan belum lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurut Rafie, perbincangan mengenai PN tidak berlaku di negeri ini berkemungkinan disebabkan situasi hubungan antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika ini.
“Bukan lagi rahsia tentang hubungan antara UMNO dan Bersatu. Kita terima hakikat ini dan saya rasa semua orang faham.
“Bagi Pas di Negeri Sembilan, kita pun perlu terima hakikat ini dan menggunakan prinsip diputuskan oleh Pas Pusat iaitu kita jadi pihak yang cuba mewujudkan hubungan antara PN dan MN ini,” katanya.
Sementara itu, ujarnya, Pas Negeri Sembilan ada memberi pandangan kepada Jawatankuasa Perundingan Pas Pusat untuk bertanding di dua kerusi parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Bab bilangan kerusi ditandingi ini sebenarnya diputuskan Jawatankuasa Perundingan Pas peringkat Pusat, kami sudahpun memberi maklum balas dan maklumat tentang kerusi mana yang dirasakan Pas boleh layak bertanding di peringkat parlimen. Kami mencadangkan kalau boleh dua Parlimen.
“Begitu juga di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), kami membawa perkara itu kepada jawatan kuasa berkenaan. Untuk Parlimen dan DUN, antara formula yang dipersetujui bersama di peringkat jawatan kuasa berkenaan adalah di mana Parti Amanah Negara (Amanah) bertanding di situ Pas bertanding. Tetapi itu bukan lah satu-satunya syarat dan kriteria,” katanya.
Untuk rekod pada PRU-14, Pas tidak memenangi sebarang kerusi di peringkat parlimen dan DUN di Negeri Sembilan manakala Bersatu pula hanya satu kerusi parlimen serta tidak mempunyai kerusi di DUN. – UTUSAN










