GEORGETOWN: Bekalan barangan keperluan termasuk bawang dijamin mencukupi di seluruh negeri ini menjelang sambutan Hari Krismas pada Jumaat ini.
Timbalan Ketua Pegawai Penguatkuasa, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) negeri, Ridzuan Mat Isa berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima aduan mengenai kekurangan barangan keperluan lain atau bekalan bawang di pasaran.
“Bekalan barang keperluan sempena perayaan Krismas dijamin mencukupi dan harga barangan juga stabil.
“Pihak kami juga melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2020 sebagai langkah untuk menyekat kenaikan harga barangan keperluan menjelang Krismas,” katanya.
Beliau ditemui selepas mengiringi Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Abdul Halim Hussain menjalankan tinjauan harga dan barangan di Sam’s Groceria, Staits Quay, Tanjung Pinang, di sini hari ini.
Menurut Ridzuan, tinjauan pihaknya mendapati kenaikan harga bawang berlaku sekitar dua minggu lalu disebabkan kekurangan bekalan bawang dari India.
Bagaimanapun, katanya, stok bekalan bawang dari India yang berkurangan kerana musim hujan di negara itu kini sudah kembali pulih.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Sam’s Groceria, Azmin Sadurudin berkata, sempena musim perayaan Krismas tahun ini, jumlah jualan ayam belanda di pasar raya itu meningkat sebanyak 50 peratus berbanding sebelum ini.
“Permintaan untuk ayam belanda meningkat memandangkan ramai warga asing yang tinggal berhampiran kawasan ini tidak dapat pulang ke negara masing-masing kerana pandemik Covid-19.
“Jadi mereka menyambut Krismas di sini sahaja bersama keluarga rakan-rakan terdekat,” katanya.-UTUSAN ONLINE










