Basuh kaki sebelum maut dihempap kereta - Utusan Malaysia

Basuh kaki sebelum maut dihempap kereta

Keadaan kereta yang merempuh dan menghempap seorang pejalan kaki sehingga maut di sebuah kondominium di Georgetown, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Tindakan seorang wanita yang keluar dari keretanya untuk membasuh kaki berhampiran pili di parkir sebuah kondominium di sini berakhir tragedi selepas dia dirempuh dan dihempap sebuah kereta sehingga maut.

Kejadian melibatkan mangsa, Kim Hui Ping, 49, itu berlaku kira-kira pukul 11 pagi semalam di tempat letak kereta Kondominium Green Land Park di sini.

“Mangsa dikatakan turun dari keretanya untuk mencuci kaki sebelum dirempuh dan dihempap sebuah kereta yang terjunam dari ketinggian enam meter”

Menurut Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Yusri Zakaria, mangsa dirempuh kereta jenis Toyota Vios yang dipandu seorang warga emas berusia 71 tahun.

Ujar beliau, selepas merempuh mangsa, kereta itu kemudiannya terbabas dan merempuh tembok dinding di kawasan parkir itu sebelum terjatuh dari ketinggian kira-kira enam meter dengan mangsa turut dihempap kereta berkenaan.

“Mangsa ditemukan dihempap di bawah kereta itu dengan kecederaan parah pada seluruh anggota badan.

“Kita dimaklumkan orang awam di situ yang mangsa baru selesai membasuh kaki di paip yang terletak berhampiran tembok di situ,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau memberitahu, pemandu terbabit pula ditemukan dalam keadaan tersepit di dalam keretanya dan anggota bomba memberi rawatan awal sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP).

“Warga emas itu mengadu sakit dada dan keadaannya stabil. Kita kemudian membawa keluar mayat mangsa yang tersepit kurang 15 minit dan diserahkan kepada pasukan polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong ketika dihubungi berkata, siasatan mendapati pemandu kereta terbabit tertekan pedal minyak lalu terlanggar mangsa.

“Kereta terbabit kemudiannya merempuh dinding tempat meletak kereta di tingkat satu dan terjatuh ke atas sebuah lagi kereta jenis Toyota yang diparkir di bawah bangunan berkenaan.

“Bedah siasat ke atas si mati akan dijalankan esok selepas keputusan ujian saringan Covid-19 diperoleh,” katanya.

Tambah beliau, kes tersebut telah disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE

Habis//

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.