Angkasa optimis peroleh lesen bank digital - Utusan Malaysia

Angkasa optimis peroleh lesen bank digital

ABDUL Fattah Abdullah (tengah) menyerahkan kad keahlian koperasi kepada Mohamad Fazil Shafie (kiri) sambil disaksikan Tengku Hishammuddin Zaizi Tengku Azman Shah Alhaj selepas merasmikan pelancaran Koperasi Kopirnafg di Hotel Ames, Melaka. - UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) yakin perbincangan pihaknya bersama beberapa buah syarikat akan membuahkan hasil untuk memperoleh satu daripada lima lesen bank digital yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM).

Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, setakat ini lebih 10 syarikat termasuk syarikat berasaskan telekomunikasi dikenal pasti untuk menjalin kerjasama tersebut selain beberapa syarikat konglomerat lain.

Menurut beliau, syarikat telekomunikasi merupakan rakan strategik terpenting kepada bank digital yang berupaya memastikan capaian internet lancar bagi membolehkan bank digital beroperasi sebaiknya terutama di kawasan luar bandar.

“Angkasa sebelum ini ada menyuarakan hasrat memohon lesen bank digital yang dijangka dibuka BNM menjelang hujung tahun ini.

“Selain syarikat telekomunikasi, kita juga akan mengadakan perbincangan bersama syarikat kewangan yang juga perlu menjadi rakan strategik wajib dalam penubuhan bank digital,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Koperasi Ihsan Rakan Niaga Fazil Group Bhd. (Kopirnafg) di sini.

Yang turut hadir Pengerusi Kopirnafg, Datuk Seri Mohamad Fazil Shafie dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Ikhasas, Tengku Datuk Hishammuddin Zaizi Tengku Azman Shah Alhaj.

Akhir tahun lalu, BNM memaklumkan akan mengeluarkan sehingga lima lesen kepada pemohon yang layak untuk menubuhkan bank digital sama ada perbankan konvensional atau secara Islam di Malaysia.

Bank pusat itu itu sebelum ini turut mengeluarkan Draf Dedahan Rangka Kerja Pelesenan bank digital sebagai sebahagian daripada langkah yang dilaksanakan untuk membolehkan penggunaan teknologi yang inovatif dalam sektor kewangan.

Dalam perkembangan lain, Abdul Fattah mendedahkan, tidak sampai 1,000 daripada lebih 14,000 koperasi yang aktif di negara ini diwujudkan oleh pihak syarikat, sekali gus meletakkan peratusannya masih kecil berbanding koperasi yang menubuhkan syarikat.

Kata beliau, konsep tersebut merupakan amalan biasa bagi syarikat-syarikat konglomerat di luar negara yang telah berjaya dalam perniagaan masing-masing, namun di Malaysia perkara itu masih belum popular.

“Kita menyarankan lebih banyak syarikat kukuh dan kuat menubuhkan koperasi memberi peluang kepada ahli atau pekerja mereka sendiri terlibat secara langsung untuk memiliki ekuiti dalam syarikat.

“Banyak manfaat jika syarikat menubuhkan koperasi antaranya mewujudkan sifat menyayangi syarikat yang akhirnya menyebabkan mereka bekerja dengan bersungguh-sungguh kerana memikirkan mereka ada kepentingan dalam syarikat itu melalui pegangan koperasi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya