MELAKA: Mengenakan faedah bulanan sebanyak enam hingga 11 peratus. Itu kegiatan yang dilakukan seorang pemberi pinjaman wang tanpa lesen yang menjadikan rumahnya sebagai ‘pejabat’.
Kegiatan terbabit dikesan dilakukan lelaki berusia 40-an sejak empat tahun lalu sebelum berjaya ditumpaskan sepasukan polis dalam serbuan di Taman Cheng Perdana, di sini, Ahad lalu.
Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Shahrul Lalli Masduki berkata, hasil serbuan pada pukul 9 pagi itu menemukan 626 dokumen berkaitan urusan pinjaman dengan nilai lebih RM300,000 dan wang tunai berjumlah RM15,000.
Menurut beliau, antara individu yang membuat pinjaman dengan suspek terdiri daripada mereka yang tidak layak membuat pinjaman bank termasuk ibu tunggal dan suri rumah sebagai modal membuat perniagaan kecil-kecilan.
“Suspek dipercayai telah menjalankan aktiviti pinjaman haram di kawasan Alor Gajah dan Jasin dengan jumlah pemberian pinjaman antara RM500 hingga RM5000,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Kontinjen Polis (IPK) Melaka di Bukit Beruang di sini, hari ini.
Shahrul Lalli berkata, polis turut merampas lima buah telefon bimbit pelbagai jenis, sembilan kad bank, 52 buku akaun bank, 51 keping kad pinjaman wang dan sebuah kereta Perodua Bezza yang disyaki digunakan dalam kegiatan pinjaman haram itu.
Mengulas lanjut, suspek kini direman sehingga 20 Disember depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 kerana menjalankan aktiviti pinjaman wang tanpa lesen.
“Sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan denda tidak kurang RM250,000 dan tidak lebih RM1 juta atau dipenjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Kita menasihatkan orang ramai tidak terlibat dengan pinjaman wang tidak berlesen yang ada diantara mereka menerima ugutan, selain turut disembur cat malah turut memberikan pelbagai ugutan lain kepada peminjam,” katanya. -UTUSAN ONLINE










