ADUN Pas tidak dilantik semula exco agama, pendidikan - Utusan Malaysia

ADUN Pas tidak dilantik semula exco agama, pendidikan

SAARANI MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Wakil rakyat Pas tidak dilantik semula sebagai exco agama dan pendidikan dalam senarai portfolio exco kerajaan negeri di bawah Menteri Besar yang baharu, Datuk Saarani Mohamad yang diumumkan hari ini.

Portfolio agama sebelum ini dipegang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selama dari Pas, Mohd. Akmal Kamarudin, namun, dalam senarai yang diumumkan hari ini, portfolio agama dipegang oleh Saarani.

Saarani turut memegang portfolio Kewangan, Keselamatan, Tanah, Sumber Asli, Perancangan Ekonomi dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) manakala Mohd. Akmal memegang Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau.

Selain itu, exco pendidikan yang sebelum ini dipegang ADUN Gunung Semanggol dari Pas, Razman Zakaria juga menyaksikan perubahan apabila ADUN Changkat Jering dari UMNO, Ahmad Saidi Mohamad Daud dilantik Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia.

Manakala Razman diumum Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan.

Ditanya mengenai perubahan portfolio agama dan pendidikan yang sebelum ini dipegang ADUN Pas, Saarani berkata, pengumuman itu bukan rombakan portfolio sebaliknya pembentukan barisan Kabinet negeri yang baharu.

“Satu perkara perlu diingat, ini bukan rombakan portfolio, ini Kabinet (negeri) baru, jadi tak timbul masalah menukar atau merombak portfolio.

“Dengan menteri besar baharu dan seorang exco baharu, jadi sebagai Menteri Besar yang baharu, saya menubuhkan team baharu.

“Jangan ada yang salah faham bahawa ini rombakan, tiada rombakan,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Dalam senarai portfolio baharu yang diumumkan hari ini, ADUN Sungai Manik dari Bersatu, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin memegang portfolio Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

ADUN Tualang Sekah dari Bersatu, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi kekal Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan.

ADUN Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya juga kekal di portfolio sebelum ini iaitu Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor.

Seorang lagi ADUN Bersatu, Datuk Abdul Yunus Jamahri (ADUN Kuala Kurau) memegang portfolio Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil.

Lain-lain exco yang diumumkan portfolionya ialah Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Noordin (Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO), Datuk Mohd. Zolkafly Harun (Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam) dan ADUN Bota, Khairul Shahril Mohamed Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Komunikasi dan Multimedia. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya