800 kg ikan, sotong, lala, udang habis tak sampai sejam - Utusan Malaysia

800 kg ikan, sotong, lala, udang habis tak sampai sejam

ORANG ramai berebut memilih ikan dan hasil laut yang dijual dengan harga berpatutan sempena Jualan Ikan Segar Coop Bersama Penduduk di Kampung Banggol, Mengabang Telipot, Kuala Nerus hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Kira-kira 800 kilogram ikan dan hasil laut laris dalam masa 50 minit sempena Jualan Ikan Segar Coop Bersama Penduduk di Kampung Banggol, Mengabang Telipot, hari ini.

Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) negeri, Zainuddin Mohd. Ali berkata, program dengan kerjasama Koperasi Nelayan Terengganu itu mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai kerana harga ditawarkan murah 20 peratus berbanding harga pasaran.

Katanya, tujuan jualan itu diadakan bagi membantu masyarakat setempat yang terjejas akibat Covid-19 membeli barangan keperluan harian pada harga berpatutan.

“Hari ini kami menyediakan kira-kira 800 kilogram ikan, sotong, lala, udang dan kerang tetapi masih tidak mencukupi.

“Memandangkan ekonomi penduduk di sekitar Mengabang Telipot ini rendah, saya rasa program jualan seperti ini patut diadakan lagi,” katanya kepada pemberita di sini.

Program jualan itu dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman.

Zainuddin berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk memperluaskan program sama ke daerah lain pada masa depan.

Katanya, buat permulaan jualan di tapak Kampung Banggol itu akan dibuka seminggu sekali kepada penduduk dengan jaminan harga lebih rendah daripada pasaran. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN