5 kerusi Parlimen di Pahang milik Bersatu? - Utusan Malaysia

5 kerusi Parlimen di Pahang milik Bersatu?

SAIFUDDIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIMA kerusi Parlimen iaitu Kuantan, Indera Mahkota, Temerloh, Raub dan Bentong di Pahang bakal menjadi kerusi ‘hangat’ menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Selain Barisan Nasional (BN) yang tewas di kawasan Parlimen tersebut pada PRU-14 dan berminat kembali bertanding di situ, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga difahamkan menyasarkan lima kerusi berkenaan.

Jika gabungan Perikatan Nasional (PN) ketika ini diteruskan pada PRU-15 dan BN kekal bersamanya, tentunya Bersatu turut mengimpikan kerusi Parlimen di negeri diterajui BN itu.

Secara logiknya, lima kerusi Parlimen itu bukan milik BN atau UMNO di Pahang kerana parti itu tewas pada PRU-14 lalu.

Sehubungan itu, Utusan Malaysia difahamkan, tidak timbul soal parti mana berada di kedudukan kedua atau ketiga di kelima-lima kerusi Parlimen terbabit pada PRU-14.

“Soalnya sekarang mereka (BN) kalah pada PRU-14 di lima kerusi Parlimen itu. Sebelum ini (PRU-14), Bersatu bersama Pakatan Harapan (PH) tetapi kini bersama PN.

“Jadi, BN kena faham dan secara logiknya, lima kerusi Parlimen itu adalah hak Bersatu,” kata sumber kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Di Kuantan misalnya, tindakan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Zakaria Abdul Hamid menyertai Bersatu Bahagian Kuantan didakwa mempunyai kaitan dengan karier politiknya di kawasan berkenaan.

Zakaria yang juga Pengerusi Penggerak Komuniti Negara (PKN) Pahang didakwa telah lama menggerakkan ahlinya melaksanakan gerak kerja dan program komuniti di daerah ini.

Tumpuan program yang dilaksanakan PKN Pahang didakwa lebih tertumpu di Kuantan dan tidak menyeluruh di negeri ini.

Bersatu juga difahamkan mahu terus mengekalkan wakil rakyatnya di Indera Mahkota iaitu Datuk Saifuddin Abdullah pada PRU-15 walaupun ia mendapat tentangan daripada ahli dan pimpinan UMNO di situ.

Bagi kerusi peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) pula, Bersatu dikatakan mahu bertanding di sembilan kerusi yang dimenangi PKR dan DAP pada PRU-14.

Sembilan kerusi DUN terbabit ialah Tanah Rata, Tras, Semambu, Bilut, Sabai, Te­runtum, Mentakab, Ke­tari dan Triang.

Pada PRU-14, BN menang sembilan kerusi Parlimen dan 25 kerusi DUN, Pas lapan kerusi DUN manakala pembangkang (PKR, DAP dan Amanah) menang lima kerusi Parlimen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN