Tidak patuhi SOP:482 kompaun dalam 6 hari - Utusan Malaysia

Tidak patuhi SOP:482 kompaun dalam 6 hari

MUHAMMAD Yazid Muhammad Yew pada sidang akhbar di IPK Selangor, Shah Alam, Selangor, hari ini.-Foto ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Orang ramai dilihat bersikap tidak matang berikutan masih enggan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini.

Jurucakap Khas Op Covid-19 Polis Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, perkara itu terbukti selepas pihaknya mengeluarkan 482 kompaun dalam tempoh enam hari antara 20 November sehingga semalam.

Katanya, pelanggaran SOP yang dikesan itu kebanyakkannya melibatkan kesalahan tidak memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal, serta gagal mendaftar butiran diri atau suhu ketika memasuki premis.

“Statistik yang dianggap tinggi ini menunjukkan bahawa masih wujud masyarakat tidak matang yang enggan mematuhi peraturan ditetapkan.

“Oleh demikian, kita menasihatkan supaya SOP kerajaan ini terus dipatuhi bagi mengelak mereka dikenakan tindakan undang-undang.

“Kompaun RM1,000 yang dikeluarkan itu mengikut Perkara 10 Peraturan-Peraturan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (No.7) 2020,”katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Dalam pada itu, Muhammad Yazid berkata, sebanyak 29,936 pemeriksaan dijalankan ke atas pelbagai premis sepanjang tempoh berkenaan.

Menurutnya, pemeriksaan yang dijalankan adalah antaranya di restoran, kilang, pusat beli belah, tapak binaan dan terminal pengangkutan awam.

“Jumlah berkenaan turut meliputi pemeriksaan ke atas 14,953 kenderaan persendirian. Sekatan jalan raya (SJR) masih dijalankan di semua laluan terutama lebuh raya di seluruh negeri ini.

“Sebanyak 2,908 kenderaan diarah berpatah balik selepas didapati tidak memiliki surat kebenaran rentas sempadan atau negeri.

“Kita juga melaksanakan SJR bergerak di enam daerah termasuk Kuala Selangor, Kuala Langat dan Sepang,” katanya.

Tambah Muhammad Yazid, pihaknya turut menubuhkan sebanyak 523 pasukan khas untuk menguatkuasakan pematuhan SOP Covid-19.

“Selain polis, seramai 2,500 anggota bertugas melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya