Tiada tanda Pejuang akan diluluskan ROS - Shaharuddin - Utusan Malaysia

Tiada tanda Pejuang akan diluluskan ROS – Shaharuddin

Datuk Marzuki Yahya (dua kanan), Mukhriz Mahathir (dua kiri), Dr Maszlee Malik (kiri) dan Shahruddin Md Salleh (kanan) hadir di Pejabat Pendaftar Pertubuhan (RoS) bagi mendaftarkan penubuhan parti baharu Pejuang Tanah Air (PEJUANG) di pekarangan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, di Putrajaya, Ogos lalu..-UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Status pendaftaran Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang masih tergantung walaupun permohonannya sudah dihantar tiga bulan lalu menimbulkan keraguan kerana hingga kini belum ada tanda-tanda parti itu diluluskan.

Bendahari Penaja Pejuang, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh berkata, beliau belum menerima sebarang kenyataan bertulis daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) berhubung pendaftaran parti itu.

“Sabar. Pejuang belum lagi diluluskan. Saya belum dapat surat daripada ROS menyatakan Pejuang diluluskan,” katanya ringkas ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Ditanya sama ada kelewatan pendaftaran Pejuang itu bermotifkan politik, beliau tiada jawapan jelas berhubung perkara itu.

“Tidak pasti. Tanpa prejudis,” katanya.

19 Ogos lalu, Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bersama beberapa ahlinya termasuk Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik (kini bergerak Bebas) dan bekas Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Marzuki Yahya, mengemukakan permohonan bertulis dan secara atas talian berhubung pendaftaran partinya.

Tiga hari selepas itu, sesalinan surat diserahkan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin untuk bertanyakan status permohonan pendaftaran Pejuang namun hingga kini, belum ada tanda-tanda Pejuang akan diluluskan.

Selain itu, pindaan perlembagaan Pejuang telah diserahkan semula kepada ROS pada 2 Oktober lalu bagi tujuan lanjut proses pendaftaran susulan cadangan beberapa pindaan terhadap perlembagaan parti tersebut oleh ROS.

Bagaimanapun, 30 Oktober lalu, ROS memaklumkan permohonan pendaftaran Pejuang masih tidak lengkap sebelum pertimbangan dibuat untuk meluluskan penubuhan parti itu.

Sementara itu, menurut sumber, situasi yang dihadapi Pejuang itu berkait dengan politik terkini.

Katanya: “ Ini (pendaftaran) lebih kepada isu politik sebab apa yang ROS minta Pejuang penuhi dan meminda beberapa perkara dalam pendaftaran tersebut.” – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×