Remaja OKU terima sumbangan beli kaki palsu - Utusan Malaysia

Remaja OKU terima sumbangan beli kaki palsu

SITI Kamesah Bee Mohd. Hashim (kiri) dan Abdul Hafez Mubin Mohd. Salleh (kiri) bersama Wan Arif Ferdaus Wan Affandy (tengah) selepas menyampaikan sumbangan pembelian kaki palsu baharu di Kampung Sentang, Batu Gajah, Perak hari ini. - FOTO/SHAARANI ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU GAJAH: Wan Arif Ferdaus Wan Affandy, 16, remaja kurang upaya (OKU) yang cekal membantu ibunya di gerai bagi menampung kos rawatan kakinya yang dipotong sejak 2016, hari ini menerima sumbangan dari kerajaan Perak bagi pembelian kaki palsu baharu.

Sumbangan berjumlah RM12,250 itu disumbangkan kerajaan negeri melalui anak syarikat kerajaan negeri, Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc.).

Sumbangan diserahkan Pengarah Strategik Komunikasi Korporat MB Inc., Siti Kamesah Bee Mohd. Hashim kepada Wan Arif di kediamannya di Kampung Sentang di sini hari ini.

Hadir sama, Pegawai Khas Kanan Menteri Besar Perak, Abdul Hafez Mubin Mohd. Salleh.

Siti Kamesah Bee berkata, sumbangan pembelian kaki palsu baharu itu diharapkan akan menaikkan lagi semangat dan kegigihan Wan Arif untuk mencapai apa sahaja yang diimpikannya.

“Kami juga mendoakan supaya Wan Arif dapat meneruskan cita-cita dan impiannya untuk menjadi atlet paralimpik negeri sebagaimana yang dihajati.

“Kami sangat berbesar hati menyampaikan sumbangan ini dan ia akan dikreditkan terus kepada syarikat penyedia kaki palsu berkenaan, Bioapps Sdn. Bhd,” katanya selepas menyampaikan sumbangan.

Siti Kamesah Bee berkata, kaki palsu yang lebih tahan lasak dan sesuai digunakan untuk kegiatan sukan itu dijangka siap dalam tempoh dua bulan.

Beliau berkata, MB Inc sangat terkesan dengan kegigihan, kesungguhan dan semangat yang dimiliki Wan Arif yang mahu terus berada di hadapan sama seperti orang lain yang normal meskipun ada kekangan pada dirinya.

“Semangat positif seperti ini yang semua mahukan dan kami harap ramai yang boleh mencontohi semangat Wan Arif yang tak pernah pudar ini,” katanya.

Sementara itu, Wan Arif berkata dia sangat berterima kasih kepada semua pihak khususnya Pejabat Menteri Besar dan MB Inc. yang banyak membantu dalam memudahkan urusannya mendapatkan kaki palsu baharu yang lebih tahan lasak.

“Saya amat berharap, kaki palsu yang baharu nanti saya akan membolehkan saya melakukan lebih banyak aktiviti lasak dan mencabar serta dapat menikmati kehidupan normal dengan lebih baik.

“Saya juga sangat berharap supaya cita-cita saya untuk mewakili Perak dalam sukan paralimpik khususnya dalam sukan renang dan sukan lain yang saya minati,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.