Polis terlibat salah laku ditamatkan perkhidmatan - Utusan Malaysia

Polis terlibat salah laku ditamatkan perkhidmatan

hamid
ABDUL HAMID BADOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Mana-mana pegawai dan anggota  Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang didapati terlibat salah laku tidak teragak-agak akan diambil tindakan dengan ditamatkan perkhimatan mereka.

Antara kesalahan salah laku itu termasuklah mereka yang didapati terbabit dalam jenayah, gejala rasuah, serta salah laku yang serius dan berulang (habitual).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador memberitahu,  penamatan perkhidmatan itu akan diambil mengikut Peraturan 49: Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Ini kerana, tegas Abdul Hamid, imej PDRM kini tercalar dengan penahanan warganya atas kesalahan jenayah, rasuah dan dadah.

Kata Abdul Hamid, lebih menyedihkan, disebabkan angkara segelintir warga PDRM yang tidak bermaruah dan mementingkan diri, maka keseluruhan organisasi pasukan dihukum, dicaci serta dituduh oleh masyarakat.

“Ingin saya mengambil kesempatan ini untuk menegaskan bahawa PDRM tidak pernah sama sekali berkompromi dalam apa juga isu yang berhubung kait dengan perlakuan rasuah, perlanggaran peraturan atau undang-undang membabitkan warga pasukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pelancaran Buku Pelan Antirasuah PDRM (PAPDRM) 2020 yang disiarkan secara langsung menerusi laman sosial rasmi PDRM dan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standards (Jips).

Turut hadir Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki.

Mengulas lanjut mengenai pelancaran PAPDRM, Abdul Hamid memberitahu, enam bidang keutamaan yang perlu diberi tumpuan iaitu Tadbir Urus Organisasi dan Sumber Manusia, Risikan Keselamatan, Risikan dan Penguatkuasaan Undang-undang, Siasatan dan Pendakwaan, Ketenteraman Awam dan Pengurusan Kewangan dan Perolehan.

Ujarnya, berdasarkan enam bidang keutamaan berkenaan sebanyak 53 inisiatif dibangunkan untuk dilaksana melalui enam strategi ke arah melahirkan warga kerja PDRM yang berintegriti dan berdaya saing.

“ Antara strategi yang diterapkan ialah mengutuhkan modal insan dalam PDRM, memperkasakan kredibiliti dan integriti maklumat risikan keselamatan dan meningkatkan integriti dalam menguatkuasakan undang-undang.

“Selain itu, meningkatkan kredibiliti siasatan dan pendakwaan, memperkasakan tindakan pencegahan jenayah secara berhemah dalam menjamin ketenteraman awam dan mengoptimumkan pengurusan kewangan danperolehan PDRM secara sistematik serta berintegriti,” katanya.

Ini sekali gus, kata Abdul Hamid membuktikan komitmen PDRM untuk menghapuskan gejala rasuah dan mengamalkan ketelusan, sikap bertanggungjawab serta integriti dalam urus tadbir dan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

“Saya amat yakin, PAPDRM ini dapat membentuk satu hala tuju nyata, ke arah meletakkan PDRM di atas landasan yang betul selain menjadi panduan kepada seluruh warga pasukan untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya