Polis bongkar Sindiket dadah Ah Soon - Utusan Malaysia

Polis bongkar Sindiket dadah Ah Soon

AYOB Khan Mydin Pitchay menunjukkan dadah dengan nilai keseluruhan yang dirampas RM737,000 pada sidang akhbar di IPK Johor Bahru.UTUSABN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU : Sindiket pengedaran dadah yang dikenali sebagai Sindiket Ah Soon lumpuh selepas seorang ahlinya ditangkap polis Johor pada minggu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, lelaki tempatan berusia 39 tahun yang bertindak sebagai penghantar barang ditangkap di satu lokasi di Seri Alam pada 27 November.

Katanya, penangkapan suspek tersebut sekali gus membawa kepada penemuan pelbagai jenis dadah yang berjumlah RM737,000 dalam lokasi berbeza sekitar kawasan sama.

“Hasil soal siasat ke atas suspek polis berjaya menemukan pelbagai jenis dadah antaranya 2.7 kilogram syabu, 12,000 biji ekstasi, 23,000 biji eramin 5 dan 530 gram ketamin.

“Sindiket Ah Soon itu dipercayai mula beroperasi kira-kira enam bulan lalu ketika negara Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih dilaksanakan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Menurut Ayob Khan, pihak polis turut merampas masing-masing sebuah kereta Toyota Camry dan Nissan Grand Livina, seutas gelang emas serta wang tunai RM1,700.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk dadah berjumlah RM811,700.

Tambahnya, semakan rekod lampau mendapati lelaki terbabit mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah mengikut Seksyen 373 Kanun Keseksaan.

“Bekalan dadah itu dipercayai dari utara tanah air dan dipercayai diedar di kawasan sekitar Johor Bahru.

“Ini bukan kegiatan secara individu tapi satu sindiket pengedaran dadah. Jadi, siasatan lanjut masih diteruskan dan polis akan menjalankan usaha bagi mengesan saki-baki yang masih bebas,” ujarnya.

Suspek direman tujuh hari bermula 27 November hingga 4 Disember ubtuk siasatan lanjut dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu, beliau berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor berjaya menahan 17,603 individu berkaitan pelbagai kesalahan dadah dan membuat rampasan sebanyak 2.66 tan sepanjang tahun ini.

Katanya, keseluruhan dadah yang dirampas adalah bernilai RM29.59 juta manakala sitaan harta bernilai RM13.56 juta.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya