PKP dorong  berniaga warung ke perkhidmatan dalam talian - Utusan Malaysia

PKP dorong  berniaga warung ke perkhidmatan dalam talian

MD.Fikri (kiri) dan isterinya,Nurfadilah Sulor (kanan) bersama pekerja-pekerja yang menjadi penghantar makanan bermotosikal Tapau Selalu di warung mereka di Jalan Hussin Kampung Jalan Kebun, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.-UTUSAN/ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pada awal, perniagaannya hanya di warung sahaja dengan menjual sarapan pagi dan makan tengah hari, namun kini susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada Mac lalu, pemilik Warung Imam Muda di Jalan Hussin Kampung Jalan Kebun di sini tidak mengaku kalah untuk terus bangkit.

Md.Fikri Mohd.Hussain,36, yang juga merupakan Imam di Masjid Al Falah di sini berkata, dia tidak menyangka perniagaan yang diusahakan hampir 10 tahun kini mempunyai perkhidmatan secara atas talian.

Menurutnya, dia tidak menafikan bahawa perniagaannya juga terjejas terutama apabila warung dibuka di pinggir bandar dan desa.

“Namun, sejak PKP tersebut, ia mendorong untuk mengubah pendekatan pemasaran daripada berniaga di warung kepada penghantaran secara pesanan telefon ke rumah.

“Dua minggu PKP, saya buntu kerana perniagaan terpaksa ditutup namun apabila Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan beberapa sektor dibuka dengan prosedur operasi standard (SOP), sebagai peniaga perlu meneruskan satu-satunya mata pencarian bersama isteri.

“Saya dan isteri yang juga merupakan rakan kongsi mengambil keputusan untuk menggunakan perkhidmatan penghantar makanan popular untuk menghantar makanan di sekitar kampung dan di kawasan perumahan di sini,”katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Dalam pada itu, Md.Fikri yang memiliki dua cahaya mata perempuan berkata, selepas beberapa bulan berlalu dan negara berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pula, dia mengambil keputusan untuk tidak lagi berdaftar dan bekerjasama dengan perkhidmatan penghantaran makanan itu.

Jelasnya, setelah mengadakan perbincangan dengan isterinya, Nurfadilah Sulor,33, dan pekerja-pekerjanya seramai 14 orang, mereka memutuskan untuk membuat perkhidmatan makanan dengan melakukan promosi melalui sosial media peribadi selain penghebahan mulut ke mulut.

“Sambutan yang diterima  amat menggalakkan dan pasukan penghantar bermotosikal seramai empat orang digerakkan seawal pukul 8 pagi hingga 2 petang setiap hari kecuali Jumaat.

“Perkhidmatan yang dinamakan Tapau Selalu ini meliputi kawasan Shah Alam, Klang dan Subang dan kita mengenakan caj 80 sen bagi setiap kilometer,” katanya yang belajar pengajian agama Islam di  Yogjakarta, Indonesia pada 14 tahun lalu.

Warung Imam Muda menyajikan sarapan pagi seperti Mi Jawa, Lempeng Sambal Tumis, Nasi lemak dan makanan tengahari yang juga hidangan istimewa Nasi Kambing Bakar, Nasi Ayam Penyet, Sup Ceker dan lain-lain.

Pesanan Tapau Selalu boleh dibuat dengan menghubungi talian 0166972687 atau 0196909676. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya