PONTIAN : Persimpangan masuk ke Kampung Parit Selangor di sini boleh dianggap sebagai laluan maut kerana banyak nyawa pengguna jalan raya terkorban dan sehingga kini telah meragut lima nyawa penduduk.
Kedudukan persimpangan tersebut merupakan jalan utama pengguna yang datang dari arah Benut ke Pekan Nanas dan Johor Bahru di samping sering digunakan kenderaan berat.
Menurut Ahli Jawatankuasa Majlis Komuniti dan Pembangunan Kampung (MPKK) Kampung Parit Selangor, Sairi Sahrin, 66, laluan itu sibuk pada awal pagi dan petang kerana ratusan kenderaan menggunakan jalan Parit Selangor untuk ke Johor Bahru sehingga berlaku kesesakan sepanjang 500 meter.
“Sebagai pemandu bas sekolah, saya mengambil masa 10 hingga 15 minit untuk membelok ke arah kanan kerana banyak kenderaan yang datang dari arah Pekan Nanas untuk masuk ke Kampung Parit Selangor.
“Kami telah mengajukan permohonan bagi mendapatkan lampu isyarat di persimpangan Parit Selangor lebih 10 tahun, namun setakat ini tiada kelulusan daripada pihak kerajaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Bagi seorang peniaga, Md. Khairuman Abu, 46, berkata persimpangan tersebut telah mengorbankan lima pengguna jalan raya dan antaranya sebabnya oleh sikap pemandu gagal memperlahankan kenderaan ketika memandu.
Katanya, jika sebelum ini persimpangan ini tidak berapa sibuk namun pertambahan jumlah kenderaan setiap hari memerlukan pemasangan lampu isyarat diberikan perhatian bagi mencegah kemalangan.
“Di kampung kami pun terdapat sebuah sekolah memandu yang amat memerlukan kelancaran perjalanan sama ada ketika menjalani latihan mahupun ketika menjalani ujian pemanduan,” jelasnya.
Md. Khairuman berkata, terdapat kenderaan berat melalui persimpangan Kampung Parit Selangor sama menggunakan Jalan Parit Kassim atau Jalan Parit Semerah untuk ke Batu Pahat dan Johor Bahru.-UTUSAN ONLINE