SHAH ALAM: Memandu dalam keadaan mabuk sehingga mencetuskan bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain tidak lagi boleh dianggap sebagai suatu kecuaian.
Sebaliknya, ia merupakan tindakan dan keputusan yang sedar dan diketahui berpotensi tinggi menyebabkan kematian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, elemen kesedaran terhadap risiko menjadi asas kepada konsep culpable homicide iaitu pelaku berpengetahuan terhadap bahaya dan ancaman kepada manusia.
“Justeru, saya mencadangkan agar kesalahan memandu mabuk yang menyebabkan kematian diklasifikasikan semula sebagai satu bentuk culpable homicide not amounting to murder.
“Selaras dengan prinsip undang-undang jenayah yang mengiktiraf perbuatan berbahaya yang dilakukan dengan pengetahuan risiko sebagai satu kesalahan serius terhadap nyawa manusia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Utusan Malaysia kelmarin melaporkan seorang pemandu mabuk direman selama empat hari selepas merempuh sebuah motosikal di Jalan Raya Barat, Klang sehingga menyebabkan penunganggnya terpelanting dan tercampak di atas sebuah kereta lain sebelum disahkan meninggal dunia.
Insiden tersebut menyebabkan isteri dan tiga anak mangsa kehilangan tempat bergantung serta kasih sayang seorang bapa.
Bagaimanapun, pembantu makmal swasta, R. Saktygaanapathy, 28, kemudian dituduh di Mahkamah Majistret hari ini atas kesalahan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Nurul Syazwani yang juga seorang peguam berkata, sehingga hari ini, kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol yang menyebabkan kematian kebanyakannya masih didakwa di bawah peruntukan Akta Pengangkutan Jalan 1957.
“Walaupun hukuman diperketatkan, realitinya kes-kes seumpama ini masih berulang. Ini menunjukkan bahawa pendekatan sedia ada belum cukup memberi kesan pencegahan yang efektif.
“Sebarang pindaan undang-undang perlu dirangka dengan teliti agar tidak membebankan pembuktian secara tidak realistik. Oleh itu, pendekatan terbaik adalah mewujudkan kategori khusus yang menggabungkan elemen memandu mabuk dan menyebabkan kematian, dengan ambang pembuktian yang jelas serta hukuman yang setimpal,” jelasnya. – UTUSAN










