Peneroka rugi RM200 juta akibat perahan rendah - Utusan Malaysia

Peneroka rugi RM200 juta akibat perahan rendah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Rancangan pengambilan semula 350,000 hektar tanah yang dipajak kepada FGV Holdings Berhad (FGV) perlu dibuat secara tersusun dengan melibatkan semua kilang milik FGV.

Presiden Alumni Majlis Belia Felda Malaysia (AMBFM), Datuk Abdullah Abu Bakar berkata, jika hanya ladang diambil semula, ia akan terus merugikan golongan peneroka dan Felda.

Beliau berkata, dianggarkan pada setiap tahun, golongan peneroka Felda menanggung kerugian RM200 juta kerana kadar perahan rendah iaitu berada pada paras bawah 21 peratus.

“Ini berlaku kerana, kilang-kilang sawit yang ada ketika ini bukan dikuasai oleh Felda.

“Jadi, pemantauan kadar perahan tidak boleh dilakukan sekali gus merugikan bukan saja Felda malah seluruh peneroka,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Sebelum ini, Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, agensi berkenaan mahu mengambil semula 350,000 hektar tanah yang dipajak kepada FGV dalam usaha mengukuhkan kembali kedudukan kewangannya.

Pengerusi Pasukan Petugas Khas pemulihan agensi berkenaan, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, Felda akan turut mengambil alih kilang milik FGV, selain menamatkan Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) dengan syarikat tersebut.

Abdullah berkata, AMBFM berharap usaha mengambil semula tanah dipajak dan mengambil alih kilang FGV dapat direalisasikan.

“Untuk menambah baik pendapatan peneroka, kilang-kilang FGV perlu diambil alih supaya pemantauan kadar perahan dapat ditingkatkan untuk masa depan peneroka yang lebih baik.

“Jika tidak, peneroka akan terus menanggung kerugian dengan kadar perahan yang rendah serta dengan alasan tidak munasabah,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN