fbpx

21 Januari 2021, 7:35 pm

  TERKINI

Masyarakat peneroka kecewa, mahu program LDB yang terhenti separuh jalan diteruskan

FELDA Lurah Bilut yang diisytiharkan sebagai Lembah Digital Bilut perlu diteruskan semula agar memberi manfaat kepada generasi Felda.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Program Lembah Digital Bilut (LDB) dalam transformasi Felda 2.0 di Felda Lurah Bilut di sini yang terhenti separuh jalan perlu diteruskan semula agar memberi manfaat kepada lima generasi Felda pertama negara itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Felda Lurah Bilut, Md. Zulkifle Md. Yusof berkata, warga Felda itu berharap LDB yang dilancarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 4 Februari 2018 diteruskan dalam meningkatkan ekonomi penduduk tanah rancangan tersebut.

MD. ZULKIFLE MD. YUSOF

Jelasnya, masyarakat Felda berkenaan berasa kecewa ke­rana program transformasi itu terhenti kerana kekurangan bajet sekali gus memberi kesan ekonomi dan sosial kepada tanah rancangan yang mula di­duduki pada 1959.

“Kami berharap LDB dapat diteruskan kerana ramai anak muda sudah pulang menyahut cabaran, malah 17 anak pene­roka yang dihantar menjalani kursus keusahawanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah menamatkan pengajian dan bersedia untuk program keusahawanan dirancang sebelum ini.

“Pada mulanya memang ramai pengunjung masuk tetapi semakin berkurang kerana kemudahan yang dirancang terhenti dan tiada pembangunan seterusnya bagi melengkapkan LDB,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurut Md. Zulkifle, antara kawasan utama yang masih belum dibangunkan seperti dalam perancangan ialah dataran niaga belia, kawasan riadah sungai dan pejabat Felda.

Beliau memberitahu, pejabat Felda yang kini dijadikan sebahagian Muzium Felda Lurah Bilut hanya menumpang di bangunan JKKK tanah rancangan berkenaan buat sementara waktu.

“Sebenarnya dari segi promosi dan sebahagian kemudahan lain seperti muzium dan juga talian Internet dan rumah rehat telah ada cuma perlu dilengkapi pembangunan lain seperti dirancang,” katanya.

ZULKIFLI AMLAKI

Dalam pada itu, generasi kedua Felda Lurah Bilut, Zulkifli Amlaki, 64, berkata, generasi baharu Felda berkenaan yang telah mencapai lima generasi mengharapkan pembangunan LDB dapat menggerakkan eko­nomi di Felda berkenaan.

Katanya, ketiadaan kawasan ruang niaga seperti yang dirancang dalam pembangunan LDB menyebabkan kesukaran gene­rasi baharu menjana pendapatan dalam perniagaan.

Sementara itu beliau berkata, sehingga kini Felda pertama negara yang seharusnya menjadi contoh kepada tanah rancangan lain itu masih belum mempu­nyai rumah generasi baharu.

Katanya, ini menyebabkan warga Felda berkenaan yang telah mencapai lima generasi kini menghadapi masalah rumah dan terpaksa menumpang di rumah generasi pertama atau menyewa. – UTUSAN

POPULAR

BERITA BERKAITAN