Serai Group labur RM15 juta perluas operasi di Ipoh - Utusan Malaysia

Serai Group labur RM15 juta perluas operasi di Ipoh

SERAI Estate di Taman Chateau, Ipoh memberikan pengalaman santapan berbeza kepada pengunjung selain memperkenalkan seni dan kraftangan Perak menerusi reka bentuk serta ruang restoran. - UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Serai Group memperuntukan RM15 juta bagi membangunkan Serai Estate di Ipoh sebagai destinasi santapan dan gaya hidup, selain menjadikan bandar raya ini sebagai hab mengembangkan operasinya di utara.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Serai Group, Datuk Mohd Najib Abdul Hamid berkata, Serai Estate yang terletak di Taman Chateau di sini melibatkan pelaburan seperti kerja penambahbaikan kemudahan serta pembangunan pelbagai konsep restoran dan ruang komuniti di kompleks berkenaan.

Katanya, Ipoh dipilih sebagai lokasi pertama pengembangan operasi Serai Group di luar Lembah Klang berikutan potensi pasaran tempatan yang masih luas untuk diterokai.

“Saya memang suka Ipoh. Saya suka suasana dan penampilannya. Saya fikir potensi di sini masih belum diterokai sepenuhnya.

“Ini merupakan cawangan Serai pertama kami di luar Lembah Klang,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Menurutnya, Serai Estate dibangunkan di sebuah banglo yang diubah suai menjadi restoran dengan mengetengahkan warisan dan kraftangan tempatan seperti Labu Sayong, kelarai serta tenunan emas.

Katanya, konsep berkenaan bertujuan memberikan pengalaman santapan berbeza kepada pengunjung selain memperkenalkan seni dan kraftangan Perak menerusi reka bentuk serta ruang restoran.

“Dalam konsep Serai Restaurant ini, kita mengetengahkan kraftangan tempatan Perak seperti kelarai dan tenunan emas.

“Kita mahu pastikan konsep ini berbeza dan lebih bersifat pendidikan tentang kraftangan di Ipoh,” katanya.

Beliau berkata, Serai Estate turut menempatkan Serai Hall yang mampu menampung antara 250 hingga 300 tetamu, sekali gus sesuai dijadikan lokasi penganjuran pelbagai acara termasuk majlis korporat, pelancaran produk dan perkahwinan.

Menurutnya, pembangunan kompleks itu akan dilengkapkan dengan pelbagai tawaran F&B dan gaya hidup bagi menjadikannya sebagai ruang komuniti yang boleh dikunjungi dari pagi hingga malam.

Antara perancangan tersebut termasuk pembukaan rumah orkid yang menawarkan pengalaman melihat pelbagai jenis orkid selain ruang minum petang dengan hidangan scone, kek dan teh. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×