KUALA LUMPUR : Belanjawan 2021 yang akan diputuskan menerusi undi belah bahagian Khamis ini bakal memperlihatkan ‘drama’ dan ‘konflik’ bagi menentukan sama ada peruntukan tahunan itu akan diluluskan atau pun tidak.
Ini kerana sokongan daripada Ahli Parlimen UMNO sangat penting sebagai penentu kepada kelulusan belanjawan rakyat berkenaan selain undian daripada parti pembangkang yang sudah semestinya mempunyai ‘selera’ tuntutan tersendiri.
Kedudukan terkini di Dewan Rakyat juga meruncing kerana kerusi Ahli Parlimen blok kerajaan kini hanya tinggal 113 setelah kematian Ahli Parlimen Gerik, Allahyarham Datuk Hasbullah Osman manakala blok pembangkang sebanyak 107 kerusi juga kurang satu i ekoran kematian Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong.
Paling mendebarkan apabila wujud pergeseran antara pemimpin UMNO yang berada dalam barisan Kabinet dan juga yang berada di luar kerajaan.
Sejak Belanjawan 2021 dibentangkan di Dewan Rakyat pada 6 November lalu, terdapat beberapa pemimpin UMNO lantang membuat teguran selain mengkritik segelintir pemimpin parti itu dilihat hanya mengikut telunjuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Wujud kalangan pemimpin UMNO yang menyifatkan segelintir pemimpin parti itu yang lain sebagai ‘pak turut’ bagi kerajaan sedia ada.
Antara yang lantang membuat teguran ialah Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan.
Malah, sebelum ini, Tengku Razaleigh pernah meminta pemimpin UMNO dalam Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk segera berundur daripada jawatan masing-masing berikutan pengumuman Bersatu untuk menerima bukan Melayu sebagai ahli parti.
Terbaharu, Tengku Razaleigh menerusi ciapan Twittternya menyatakan protesnya terhadap kerajaan Muhyiddin dengan tidak akan menyertai perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat kerana keabsahan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak dapat ditentukan.
Beliau menjelaskan pendiriannya itu menerusi surat bertarikh 19 November lalu kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.
“Oleh kerana kesahihan kerajaan kini masih belum ditentukan, saya terikat dengan suara hati dan sumpah jawatan yang telah saya lafazkan. Maka, tidak dapat turut serta dalam perbahasan belanjawan,” katanya dalam surat tersebut.
Tambah Tengku Razaleigh yang turut disenangi dengan panggilan Ku Li, tindakan untuk mengambil bahagian dalam perbahasan itu dikatakan akan menjejaskan salah satu prinsip penting Perlembagaan.
“Mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan tanpa memastikan sama ada Perdana Menteri dan para menteri beliau sah atau tidak dalam jawatan akan menjejaskan salah satu prinsip penting Perlembagaan,” katanya.
Sementara itu, Asyraf Wajdi sebelum ini pernah mengkritik Belanjawan 2021 yang memberi peruntukan sebanyak RM81 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa).
Katanya, tiada keperluan untuk peruntukan Jasa ketika ini sebaliknya peruntukan RM81 juta itu sepatutnya digunakan bagi tujuan penambahan peralatan nyah kuman dan penutup muka.
Beliau berpendapat, menambahkan peruntukan Rancangan Makanan Tambahan kepada murid sekolah lagi baik kerana ramai daripada mereka terkesan dengan kegawatan ekonomi akibat pandemik Covid-19.
“Banyak lagi cadangan yang baik, praktikal dan relevan dicadangkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BNBBC yang diharapkan dapat pertimbangan serius kerajaan hari ini,” katanya.
Bagi Setiausaha Agung Barisan Nasional, Tan Sri Annuar Musa pula, UMNO tetap akan menyokong Belanjawan 2021.
Katanya, tidak ada alasan untuk parti itu menolak usaha dan inisiatif yang dibawa oleh kerajaan.
“No (tidak). UMNO sokong Bajet (Belanjawan 2021),” tegasnya.
Terdahulu, Annuar pernah menyatakan pendirian untuk lebih rela menjadi ‘pak turut’ Muhyiddin daripada menjadi ‘pak turut’ kepada DAP mahupun Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Asal jangan jadi ‘pak turut’ DAP atau Anwar… ‘No Anwar, No DAP’ itu yang diputus oleh parti,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi kelmarin. – UTUSAN










