IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyifatkan pemergian Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman lewat petang tadi sebagai satu kehilangan besar buat rakyat negeri ini khususnya penduduk Gerik.
Beliau berkata, berita pemergian Allahyarham Hasbullah juga sangat mengejutkan.
“Bagi pihak seluruh jentera kerajaan negeri dan rakyat Perak, saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham.
“Sesungguhnya Allahyarham akan sentiasa dikenang sebagai pemimpin yang banyak berjasa kepada rakyat di kawasan Gerik sepanjang khidmat beliau sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temenggor dan Ketua UMNO Bahagian, seterusnya sebagai Ahli Parlimen Gerik, ” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, didoakan semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan dikumpulkan bersama hambaNya yang beriman dan beramal soleh serta dikurniakan sebaik-baik ganjaran syurga.
“Semoga ahli keluarga dan kerabat yang dicintai tabah menghadapi ujian yang berat ini,” katanya.
Hasbullah, 63, meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung di Raub, Pahang pada pukul 7 malam tadi.
Perkara tersebut disahkan ADUN Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim. – UTUSAN ONLINE