GEORGETOWN: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan bermula Mac hingga Jun lalu dan disambung pula dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa kawasan sehingga kini menyebabkan ramai yang terputus mata pencarian akibat hilang pekerjaan..
Namun, bagi anak jati Pulau Pinang, Mohamed Hidzir Mohamed Nordin, 42, tempoh PKP itu menjadi pencetus baginya untuk memulakan perniagaan Nasi Kandaq Transporter (NKT).
Mohamed Hidzir atau lebih dikenali sebagai Mamu Zir berkata, khidmat penghantaran nasi kandar oleh NKT dari 10 kedai nasi kandar popular Pulau Pinang hingga ke Kuala Lumpur itu merupakan yang pertama disediakan kepada warga Lembah Klang.
Katanya, idea untuk memulakan khidmat penghantaran nasi kandar itu bermula apabila dia buntu memikirkan hala tuju perniagaan penyedia khidmat pembersihannya yang terjejas teruk akibat PKP.
“Ketika dalam tekanan memikirkan masa depan, saya terlihat sebuah laman media sosial yang ada lebih 80,000 ahli yang semuanya adalah peminat nasi kandar Pulau Pinang.
“Jadi di situ bermula idea untuk menghantar nasi kandar dari Pulau Pinang terus kepada pelanggan di sekitar Lembah Klang,” katanya di sini semalam.
Menurutnya, pada permulaan sekitar Jun lalu, NKT hanya mendapat 24 bungkus tempahan daripada pelanggan namun selepas beberapa bulan beroperasi tempahan yang diterima kini melebihi 100 bungkus.
“Khidmat penghantaran nasi kandar hanya dibuat pada Sabtu dan Ahad manakala tempahan menerusi Telegram dan WhatApp akan dibuka lebih awal untuk memudahkan pelanggan menempah nasi kandar mereka.
“Nasi kandar yang ditawarkan pula mengikut pakej bermula serendah RM7 sehingga RM18 dan kita juga mengenakan caj penghantaran iaitu RM10 untuk tiga bungkus nasi kandar,” katanya.
Jelasnya, dia akan bergerak ke Kuala Lumpur dengan kereta selepas tempahan disiapkan oleh kedai-kedai terpilih seperti Nasi Kandar Kampung Melayu, Nasi Kandar Mohd Raffee, Deen Maju dan sebagainya serta akan tiba pada waktu petang di Kuala Lumpur.
Tambahnya, dia bersyukur kerana NKT bukan sahaja membantu warga Lembah Klang melepaskan gian terhadap nasi kandar Pulau Pinang, namun turut membuka peluang pendapatan kepada orang lain.
“Setakat ini pasukan NKT mempunyai 11 kakitangan untuk menguruskan tempahan, melayan pertanyaan pelanggan serta menjadi pengendali untuk laman sosial Facebook dan Instagram NKT.
“Kami juga mempunyai kumpulan dikenali sebagai Penghantaq untuk menghantar nasi kandar sehingga ke depan rumah pelanggan yang tidak mahu keluar dari rumah ketika PKPB,” katanya yang merancang untuk meluaskan khidmat NKT sehingga ke Pantai Timur dan Selatan tanah air. – UTUSAN










