Menangis nak ikut sebelum maut treler terbabas - Utusan Malaysia

Menangis nak ikut sebelum maut treler terbabas

Keadaan treler yang terbabas menyebabkan tiga beranak maut dalam kemalangan di Jalan Malim Nawar-Kota Bharu dekat Gopeng kelmarin. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPAR: Pemandu treler muatan simen yang maut kemalangan bersama dua anak lelakinya di Kilometer 10, Jalan Malim Nawar-Kota Bharu dekat Gopeng kelmarin, sempat menikmati makan tengah hari bersama isteri dan tiga anaknya.

Dalam kejadian pada pukul 10.20 malam itu, Hafize Nizam Ali Supian, 30, bersama anak lelakinya, Muhammad Afeef Rafiqie, 9, dan Arrian Nuh, 6, meninggal dunia di tempat kejadian.

Kemalangan berlaku selepas treler dinaiki kesemua mangsa hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik di tepi jalan.

Ibu mentua Hafize Nizam, Normah Khalid, 66, berkata, sebelum kejadian, menantunya itu sempat makan tengah hari bersama isteri dan tiga anak lelaki mereka di sebuah restoran di Kampar.

Katanya, tiga cucunya itu datang bersama ibu mereka ke restoran berkenaan secara berasingan dari kediaman di Langkap manakala Hafize Nizam pula mahu meneruskan perjalanan mengambil muatan simen di Gopeng.

“Pada mulanya arwah memang tiada niat untuk membawa dua anaknya tetapi entah mengapa selepas selesai makan, dua anaknya itu menangis-nangis mahu ikut sama.

“Kalau ikutkan sebelum ini, mereka tidak pernah pun ikut bapa mereka pergi bekerja tetapi budak-budak, mungkin teruja untuk naik treler,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kampar di sini hari semalam.

Normah berkata, dia tidak menyangka menantunya yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik itu menemui ajal serentak bersama dua cucunya dalam kemalangan tersebut.

Katanya, mereka sekeluarga dimaklumkan mengenai nahas tersebut kira-kira pukul 10.30 malam sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

“Anak saya (Shamshira Mohd. Norizin, 31) menangis dan meraung melihat treler dinaiki suami dan dua anaknya dalam keadaan remuk. Saya sendiri tidak sanggup melihat keadaannya ketika itu.

“Sekarang, anak bongsu arwah, Adeeb Hud yang berusia dua tahun mula bertanya di mana bapa dan dua abangnya, kami tidak tahu bagaimana mahu jawab selain mengatakan mereka sedang tidur,” katanya.

Sementara itu, Shamshira kelihatan lemah dan enggan ditemubual kerana terlalu sedih dengan kehilangan suami dan dua anak lelakinya itu.

Kesemua mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Chenderong Balai di Sungai Manik.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Hasron Nazri Hashim berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari Gopeng membawa muatan simen untuk dihantar ke Melaka.

Katanya, kemalangan berlaku apabila treler dipandu mangsa dipercayai terbabas ke lorong kiri jalan sebelum melanggar tiang elektrik dan besi penghadang jalan.

“Pelanggaran itu mengakibatkan kesemua mangsa tersepit dalam kenderaan dan cedera parah. Kesemua mereka maut di tempat kejadian.

“Pasukan bomba dan penyelamat mengambil masa kira-kira tiga jam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit ekoran keadaan treler itu yang terbalik di bahagian kepala,” katanya yang memberitahu siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN