Mayat lelaki terapung tanpa pakaian ditemui di lombong Kampung Orang Asli - Utusan Malaysia

Mayat lelaki terapung tanpa pakaian ditemui di lombong Kampung Orang Asli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DENGKIL: Satu mayat lelaki yang dipercayai sudah meninggal dunia sejak lima hari lalu dijumpai terapung di lombong Kampung Orang Asli Bukit Dugang di sini, Selasa lalu.

Mayat yang masih tidak diketahui identiti itu dijumpai dalam keadaan terlentang dan tidak berpakaian oleh seorang lelaki di tebing lombong pada pukul 3 petang.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, mayat dijumpai berada di tebing lombong yang berkedalaman 2.13 meter dari dasar. 

“Keadaan mayat ketika ditemui dalam keadaan terlentang dan tidak mengenakan pakaian baju atau seluar,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Wan Kamarul Azran berkata, daripada pemeriksaan mendapati mayat tersebut adalah lelaki tetapi belum disahkan lagi warganegara mangsa.

Beliau berkata, hasil siasatan ke atas lokasi kejadian mendapati lombong itu telah ditinggalkan dan asalnya adalah sungai tetapi telah ditutup.

“Jarak lokasi kejadian daripada jalan besar lebih kurang satu kilometer (km) melalui jalan tepi Sungai Semenyih Dengkil.

“50 meter daripada mayat dijumpai terdapat kandang lembu yang dijaga oleh seorang lelaki berketurunan Sikh,” katanya.

Beliau berkata, polis juga telah melakukan pemeriksaan di sekitar kawasan lokasi namun tidak menjumpai apa-apa pakaian baju atau seluar yang ditinggalkan berdekatan dengan mayat.

“Selain itu polis melakukan pemeriksaan ke atas penduduk Kampung Orang Asli di kawasan tersebut jika terdapat kehilangan ahli keluarga atau keluarga yang keluar tidak balik ke rumah,” katanya.

Beliau berkata, sebab-sebab kematian belum dipastikan lagi dan secara kasar organ dalaman mayat ini telah tiada dipercayai telah dimakan oleh binatang buas atau ikan dalam kolam tersebut.

“Berdasarkan fizikal, mayat ini bertinggian kira-kira 1.77 dengan berat lebih kurang 130 kilogram.

“Pihak hospital memaklumkan cuma terdapat tiga jari dengan kulit untuk dikesan cap jari.

“Mayat telah dibawa ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat,” katanya.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya