Mara Digital gagal, perlu penjenamaan semula, promosi agresif - Utusan Malaysia

Mara Digital gagal, perlu penjenamaan semula, promosi agresif

LENGANG... Mara Digital Mall gagal menarik ramai pengunjung sehingga menyebabkan tiga premisnya di Kuantan, Shah Alam dan Johor Bahru ditutup tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kewujudan kompleks Mara Digital bagi membantu mengimbangi dan memecah monopoli bukan bumiputera dalam sektor digital serta teknologi maklumat dilihat gagal selepas hampir lima tahun ditubuhkan.

Tiga premis Mara Digital iaitu di Selangor, Johor dan Pahang telah ditutup sejak tahun lalu dan yang tinggal hanya di Menara Mara, Kuala Lumpur.

Presiden Persatuan Usahawan Internet Malaysia (PUIM), Mohd. Azrul Mohd. Nor berkata, kegagalan itu dilihat berdasarkan kelangsungan pusat komersial terlibat untuk menjadi pencetus dan terus berkembang dalam sektor berkenaan.

Katanya, idea penubuhan Mara Digital merupakan satu tindakan berani untuk membantu usahawan bumiputera ‘berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah’ dengan kaum lain dalam sektor berkenaan.

“Kita lihat perubahan itu dengan penubuhan kompleks Mara Digital tetapi kadar keupayaan untuk berdiri sendiri sepatutnya perlu ada,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Memetik laporan rencana Utusan Malaysia baru-baru ini, peniaga di Mara Digital kini mengeluh ekoran sambutan hambar pengunjung sehingga menyebabkan kerugian.

Dalam pada itu, Mohd. Azrul dalam masa yang sama berkata, Mara Digital perlu ‘dijenamakan’ semula secara agresif termasuk menerusi pengiklanan di semua platform media sedia ada di samping promosi dan potongan harga menarik berbanding kompleks lain yang lebih ternama.

“Kalau kita lihat, aktiviti dalam kompleks Mara Digital bercampur dengan perniagaan lain.Di samping itu faktor lain adalah monopoli dan kekurangan promosi harga.

“Pengurusan kompleks itu juga perlu menambah vendor dan peniaga yang menjual peralatan komputer yang lebih kualiti dan harga berpatutan kerana pelanggan sekarang mahukan sesuatu yang mempunyai nilai berpatutan,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Ekonomi dan Keusahawan Majlis Belia Malaysia (MBM) Syed Osman Mohamed berkata, Mara Digital perlu melihat model dan meluaskan skop pasaran mereka dengan tidak hanya menjurus kepada satu aspek semata-mata.

“Kita mahu wujudkan satu hab pasaran untuk produk digital. Perniagaan dan proses jual beli itu sendiri sebenarnya melibatkan semua termasuk bukan bumiputera.

“Apa yang boleh dibuat sekarang adalah jenamakan semula dengan membuka peluang mungkin 70 peratus untuk usahawan bumiputera dan 30 peratus untuk bukan bumiputera. Malah ‘tagline’ atau sasaran untuk bumiputera perlu diubah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×