MAPIM bina rasmi bandar wakaf pelarian Syria - Utusan Malaysia

MAPIM bina rasmi bandar wakaf pelarian Syria

DELEGASI Mapim menghantar bantuan ke Turki bagi membantu pelarian Syria yang kini terdedah ancaman musim sejuk dan wabak Covid-19, di KLIA, Sepang, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) bakal merasmikan julung kali sebuah bandar wakaf khas dihuni ribuan pelarian Syria seluas 23 hektar di Turki.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Ahmad Sany Araby Al-Kahery berkata, projek itu antara misi kemanusiaan yang digerak semula atas permintaan daripada Agensi Wakaf Kerajaan negara itu.

“Kami berada di Turki selama tiga bulan menguruskan bantuan sebanyak 30 kontena yang terbengkalai di gudang sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada April lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang mengetuai enam anggota delegasi Mapim ke negara tersebut berkata, bantuan amat perlu kerana pelarian Syria kini terdedah ancaman musim sejuk dan wabak Covid-19.

Ia ujar Ahmad Sany, turut merangkumi sejumlah 20,000 helai selimut tebal, bahan makanan, ubat-ubatan, peralatan pemanas, ambulans wakaf dan baju sejuk bagi keperluan kecemasan.

“Secara peribadi, ini kali pertama Mapim melaksanakan pelbagai misi bantuan di dalam dan luar negara secara serentak serta berkeperluan tinggi terus di lapangan,” jelas beliau lagi.

Selain Syria, jirannya iaitu Lubnan dan Palestin serta beberapa buah negara di benua Afrika dan sekitar Indonesia turut mendapat bantuan langsung daripada Mapim pada ketika ini.

Mengulas mengenai bandar wakaf, Ahmad Sany yang juga pengasas dan penasihat Agensi Wakaf Kerajaan Turki berkata, pembinaan fasa pertama projek itu melibatkan 1,000 rumah.

Prasarana lain yang turut dibina dalam misi kemanusiaan Syria kali ini ialah klinik, masjid dan empat sekolah selain Malaysia Central Kitchen bagi membekalkan makanan berterusan.

“Misi ini penuh dengan cabaran dan memerlukan disiplin yang begitu tinggi kerana semua ahli delegasi harus patuh prosedur operasi standard ketat ditentukan kerajaan Turki,” tambahnya.

Mapim tegas Ahmad Sany, turut menggandakan usaha besar-besaran buat kali pertama dalam sejarah penubuhannya di Malaysia ekoran penularan Covid-19 yang makin teruk.

Ia menyasarkan bantuan khas ke Sabah dan beberapa buah negeri di Semenanjung yang terjejas teruk melalui penghantaran dalam masa terdekat sebanyak 20,000 kotak makanan.

“Ini sumbangan orang ramai dan kami bakal menghantar beberapa aset fasiliti dimiliki Mapim seperti Double-Decker Mobile Clinic, ambulans wakaf, baju perlindungan diri (PPE) dan lain-lain,” jelas beliau.

Kepada mereka yang berhajat untuk menjadi sebahagian daripada Misi Kemanusiaan Mapim boleh menghulurkan sumbangan menerusi laman sesawang www.rayuansyria.com.

Bantuan boleh disalurkan melalui Maybank (Syria Emergency Appeal) dengan nombor akaun 5628-3463-6987 selain hubungi MAPIM Malaysia menerusi talian 1300-888-038. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.