Lindungi pekerjaan tidak formal - PM - Utusan Malaysia

Lindungi pekerjaan tidak formal – PM

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan akan bekerjasama dengan majikan dan sektor swasta ke arah menambah baik serta mewujudkan jaringan keselamatan sosial yang lebih komprehensif. 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkembangan aktiviti ekonomi dalam sektor pekerjaan tidak formal termasuk ekonomi GIG ketika ini menjadi trend melibatkan sejumlah rakyat.

Walau bagaimanapun, kata Perdana Menteri, kerajaan sedar sektor pekerjaan sedemikian seperti perkhidmatan penghantaran makanan tidak dilindungi jaringan keselamatan sosial tanpa ada apa-apa jaminan dalam bentuk perlindungan insurans.

Menurut beliau, perkara itu akan turut diberi perhatian dalam Belanjawan 2021 untuk membantu golongan berkenaan dalam situasi ekonomi yang cukup menyulitkan ketika ini supaya jaringan keselamatan sosial dapat diperluaskan agar tidak ada kumpulan terjatuh dalam kemiskinan atau miskin tegar. 

“Mesti ada langkah untuk menjamin kelangsungan hidup mereka dengan ada jaringan keselamatan sosial yang lebih mapan agar kumpulan ini terselamat daripada terjerumus dalam keadaan hidup lebih susah. Sebab itu kerajaan kita prihatin rakyat,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Perdana Menteri, pada masa ini hanya 20 peratus daripada 250,000 pekerja ekonomi GIG berdaftar yang membuat caruman menerusi i-saraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). 

Selain itu, katanya,  para pekerja boleh memilih skim persaraan sosial pekerjaan sendiri di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menawarkan caruman serendah RM157 setahun selain Skim Insurans Pekerjaan pula hanya beberapa ringgit perlu dibayar sebulan, dan tentunya meringankan beban pekerja yang diberhentikan.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan mengkaji kaedah bagi memudah cara proses bagi membantu pihak yang benar-benar memerlukan sokongan susulan gesaan supaya kemudahan moratorium kewangan diteruskan.

Beliau berkata kerajaan sememangnya menerima banyak maklum balas daripada pelbagai pihak berhubung keperluan untuk melanjutkan kemudahan moratorium terutama bagi mereka yang terjejas dengan keadaan ekonomi ketika ini serta penularan Covid-19.

Walau bagaimanapun, katanya, langkah itu selepas perbincangan bersama Bank Negara Malaysia (BNM) dan pihak institusi kewangan kerana ia bukanlah peruntukan daripada kerajaan.

Menurut Perdana Menteri, setakat 16 Oktober lalu, lebih 650,000 permohonan bantuan bayaran balik pinjaman iaitu terdiri daripada 603,500 permohonan daripada individu, 43,000 permohonan daripada Perusahaan Kecil Sederhana (PKS), dan 3,500 permohonan daripada perniagaan lain, telah diterima dengan kadar kelulusan sebanyak 98 peratus.

Pada masa sama, Muhyiddin berkata, nilai keseluruhan bayaran balik pinjaman mencecah 70 peratus daripada jumlah sebelum tempoh moratorium pinjaman secara menyeluruh, setakat September lalu, biarpun ketika itu tempoh moratorium secara menyeluruh selama enam bulan masih berkuatkuasa.

Sementara itu, Muhyiddin turut memberitahu, kerajaan akan melihat kesesuaian untuk  melaksanakan semula cukai jualan dan perkhidmatan (GST), namun model cukai kepenggunaan itu perlu mengambil kira pelbagai aspek termasuk dari segi kekuatan dan kelemahan model GST yang dilaksanakan pada 2014 dahulu.

Selain itu, katanya, kajian perlu dibuat untuk memastikan kesan keseluruhan pelaksanaan cukai ke atas ekonomi kos sara hidup rakyat dan keupayaan cukai itu menangani kegiatan ekonomi gelap.

“Ini satu perkara yang penting harus diteliti supaya ada kelangsungan sistem percukaian yang lebih adil, tidak membebankan tetapi lebih efisien dan kita boleh laksanakan dengan cara agak baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.