Kerajaan NS zahir ucapan takziah kepada keluarga Koperal Baharuddin - Utusan Malaysia

Kerajaan NS zahir ucapan takziah kepada keluarga Koperal Baharuddin

AMIRUDDIN HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan turut menzahirkan ucapan takziah ahli keluarga mendiang Koperal Baharuddin Ramli dari Batalion 3 (Senoi Praaq), Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA) yang terkorban dalam kejadian berbalas tembakan di Tembok Sempadan (TS9), Padang Besar, Perlis awal pagi tadi.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, mewakili kerajaan negeri dan seluruh rakyat Negeri Sembilan beliau mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang dan menganggap pemergian Baharuddin sebagai kehilangan besar buat negara.

“Saya difahamkan bahawa mendiang merupakan anak jati Jempol, Negeri Sembilan dan telah meninggal dunia akibat terkena tembakan ketika bertugas mengawal sempadan negara daripada diceroboh anasir luar.

“Pemergian mendiang Koperal Baharuddin adalah satu kehilangan besar buat Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga negara,” katanya menerusi akaun Facebook miliknya hari ini.

Dalam pada itu, Aminuddin turut berdoa, agar Koperal T. Norihan yang turut tercedera ketika bertugas bersama mendiang sembuh daripada kecederaan yang dialami.

“Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua petugas keselamatan yang bertungkus-lumus menjaga keselamatan dan keamanan negara atas segala jasa dan bakti yang dicurahkan dalam memastikan negara aman dan damai.

“Saya titipkan doa kepada Allah SWT agar anda semua sentiasa dilindungi dan berada dalam keadaan selamat ketika bertugas, insya-Allah,” katanya.–UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN