Puding dada ayam manis, berlemak

Puding dada ayam manis, berlemak

isi ayam memberikan tekstur kenyal pada puding yang berlemak. – UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Kedengaran pelik tetapi pada suapan pertama anda pasti termimpi.
Tovukgogsu adalah puding yang diperbuat daripada bancuhan susu dan isi ayam yang direbus, dicarik dan kemudian direneh perlahan.
Menariknya, isi ayam yang kenyal memberikan kelainan tekstur pada rasa puding yang berlemak. Lebih penting, bau hanyir ayam langsung tiada.
Makanan istimewa yang disajikan untuk Sultan Uthmaniyah ini menjadi hidangan pencuci mulut yang terkenal di Turki.
Puding ini bukan sahaja menggamit rasa yang berbeza, malah memaparkan kekayaan kreativiti kulinari dari era silam.
Ia sesuai untuk pencinta manisan yang ingin mencuba sesuatu yang luar biasa.
Tovukgogsu sesuai dinikmati selepas mengambil hidangan berat dan sesuai dihidangkan pada ahli keluarga, rakan, tetamu atau ketika majlis keramaian.
Bagi yang tertanya-tanya dengan rasanya, boleh mencuba resipi ini di rumah.
Bahan-bahan
(untuk 6 orang):
1 ketul dada ayam, direbus
1 liter susu
150 gram nasi putih (untuk dijadikan kanji)
200 gram gula
½ sudu teh serbuk
kayu manis
Cara penyediaan:
Selepas dada ayam direbus, rendamkannya dalam air sejuk. Kemudian, carik-carikkan isi ayam tersebut dan rendamkan semula dalam semangkuk air sejuk.
Dalam periuk berasingan, masak susu bersama kanji nasi (nasi yang telah direbus dan dikisar halus) sambil dikacau tanpa henti selama 20 minit.
Masukkan gula, kacau rata dan biarkan ia mendidih sambil terus dikacau. Masak lagi selama 10 minit.
Tambahkan isi ayam yang telah ditos sepenuhnya. Kacau sehingga ia kembali mendidih dan teruskan memasak selama 10 minit lagi.
Bilas dulang pembakar dengan air panas, kemudian tuang campuran puding ke dalam dulang setebal kira-kira tiga sentimeter (cm).
Letakkan dulang di atas dapur. Layurkan bahagian bawah puding sehingga keperangan dengan memusingkan dulang di atas api perlahan sambil menarik bahagian tepi ke tengah menggunakan spatula. Setelah bahagian bawah berwarna keemasan, angkat dari api dan biarkan sejuk.
Setelah sejuk, potong puding kepada kepingan bersaiz lebih kurang 8×6 cm.
Dengan menggunakan spatula, gulung setiap kepingan dengan hati-hati agar bahagian bawah yang perang kekal di bahagian luar. Susun di atas pinggan hidangan.
Taburkan sedikit serbuk kayu manis di atasnya dan sedia untuk dihidang sejuk.-UTUSAN
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×