Baikpulih rumah mangsa Putra Heights sudah bermula

Baik pulih rumah mangsa Putra Heights sudah bermula

Keadaan kawasan perumahan yang akan dirobohkan dan dibina semula oleh SPNB di Kampung Kuala Sungai Baru. – UTUSAN/Norhazlinda Dewi Sutrisno
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA: Setelah hampir dua bulan kejadian kebakaran salur gas di Putra Heights di sini, penduduk yang terjejas kini mula menerima bantuan baik pulih daripada kerajaan di bawah Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Ketua Kampung Kuala Sungai Baru, Fiqrie Jusdean, 33, berkata, proses bantuan kini berjalan lancar dengan dua agensi utama mengendalikan kerja-kerja pemulihan iaitu Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan MPSJ.

“Buat masa sekarang, mana yang terjejas mereka boleh membuat tuntutan di bawah MPSJ. Tuntutan kerosak kecil dihadkan pada RM30,000 untuk satu rumah.

“Bantuan ini adalah tuntutan maksimum bagi rumah yang mengalami kerosakan kecil.

“Bahkan ada rumah yang sudah siap dibaiki di bawah MPSJ,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Tambahnya, rumah yang mengalami kerosakan keseluruhan akan dikendalikan oleh SPNB dengan bantuan sehingga RM150,000 untuk kerja baik pulih.

Mengulas lanjut katanya rumah yang rosak sepenuhnya akan dirobohkan dan dibina semula mengikut spesifikasi SPNB dengan jumlah tuntutan RM300,000.

Menurutnya lagi, mesyuarat dengan SPNB telah diadakan minggu lepas dan kerja pembinaan semula dijangka bermula minggu depan dengan sasaran siap sebelum bulan September.

Bagaimanapun, beliau mengakui terdapat sedikit rungutan daripada penduduk mengenai saiz rumah pengganti yang lebih kecil berbanding rumah asal mereka.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan kos pembinaan dan baik pulih kediaman yang terjejas dalam tragedi letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya akan ditanggung oleh kerajaan sehingga RM300,000 bagi seunit rumah dengan jumlah peruntukan keseluruhan berjumlah RM40 juta.

Sementara itu, seorang mangsa, Daud Jali, 54, berkata, dia kini dapat tinggal dengan selesa di rumah sendiri selepas kerja-kerja pembaikan di bawah MBSJ bernilai kira-kira RM30,000 siap dilaksanakan.

“Rumah sudah siap dibaiki. Alhamdulillah, dapat balik ke rumah sendiri,” katanya.

Menurutnya lagi, kerajaan memberikan pilihan kepada mangsa sama ada menggunakan kontraktor yang disediakan oleh MPSJ atau memilih kontraktor sendiri.

Katanya, proses tuntutan bantuan berjalan lancar walaupun mengambil masa dalam lingkungan 14 hari untuk penyelesaian dokumentasi dan pengkreditan.

“Kita boleh pilih kontraktor MPSJ atau pilih sendiri. Saya pilih kontraktor di bawah MPSJ sebab senang dan boleh dipercayai.

“Lepas siap baiki, pihak MPSJ akan datang periksa untuk tentukan rumah ni selamat atau tidak. Selepas itu, baru tuntutan pembayaran balik akan dikreditkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN