BALING: Penduduk di Kampung Sungai Limau dan Kampung Paya di sini bimbang menggunakan jambatan gantung merentasi Sungai Ketil yang uzur dan rosak kerana boleh mendatangkan kecelakaan kepada penggunanya.
Lebih 1,000 penduduk dari dua buah kampung itu dan sekitarnya menggunakan jambatan gantung sepanjang 36 meter dan lebar 1.2 meter yang dibina kira-kira 47 tahun lalu.
Penduduk Kampung Sungai Limau, Mohd. Sabri Ahmad, 60, berkata, penduduk menggunakan jambatan gantung itu sebagai laluan alternatif yang paling dekat ke pekan Baling di sini.
Menurutnya, perjalanan dari Kampung Sungai Limau ke pekan Baling hanya 15 minit sahaja sekiranya menggunakan jambatan itu berbanding lebih 30 minit sekiranya melalui jalan biasa.
Katanya, jambatan itu juga merupakan satu-satunya jalan pelancong ke kaki Gunung Pulai di sini untuk menjelajah sembilan buah gua dan mendaki gunung tersebut.
“Namun keadaan jambatan gantung itu semakin tidak selamat apabila tali kabel yang menahan lantai besi tidak kukuh dan semakin senget.
“Lantai besi jambatan gantung itu juga semakin renggang dan boleh mendatangkan bahaya kepada penunggang motosikal dan basikal yang melaluinya,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Ehsan Abdullah, 24, pula berkata, jambatan ini juga digunakan oleh pelajar-pelajar sekolah untuk berulang alik ke sekolah dan juga kegunaan penduduk kampung untuk menoreh dan kerja-kerja pertanian yang lain.
Sehubungan itu, katanya, dia juga berharap pihak kerajaan membaiki jambatan gantung ini dengan segera.
“Saya bimbang berlaku kemalangan yang boleh meragut nyawa sekiranya terjatuh ke dalam sungai sekiranya jambatan itu tidak dibaiki segera,” katanya.
Asnah Hashim, 53, pula berkata, dia pernah hampir terjatuh ke dalam sungai selepas motosikal yang ditunggangi terjatuh akibat lantai besi licin dan senget.
“Kalau waktu hujan saya tidak berani menggunakan kerana laluan itu licin dan tidak selamat dilalui,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE