BANGKOK: Seorang pengurus jenazah di Ban Bueng, Thailand bertindak nekad membawa mayat ke sebuah stesen minyak bagi membuktikan keperluannya membeli diesel untuk urusan pembakaran mayat, di tengah-tengah krisis bekalan yang tercetus akibat perang Iran.
Kebanyakan kuil Buddha di Thailand bergantung sepenuhnya kepada relau berkuasa diesel untuk upacara pembakaran mayat. Namun, kekurangan bekalan diesel telah menyebabkan banyak krematorium sukar menyempurnakan upacara pengebumian.
Lelaki yang dikenali sebagai Preecha itu mendakwa dia telah dihalang daripada membeli diesel ekoran krisis tenaga yang semakin meruncing kesan konflik di Asia Barat.
Insiden tersebut tular selepas disiarkan secara langsung melalui Facebook Live, memaparkan Preecha membuka bahagian belakang trak pikapnya untuk menunjukkan sebuah keranda berisi mayat kepada kakitangan stesen minyak.
Tindakan itu dilakukan sebagai bukti sahih bahawa diesel yang ingin dibelinya adalah untuk kegunaan segera urusan pengebumian dan bukannya untuk tujuan menyimpan stok.
Preecha yang bertugas di sebuah kuil di daerah Ban Bueng, menjelaskan bahawa beliau telah berkhidmat sebagai pengurus jenazah sejak tahun 2005.
Beliau yang sering membeli diesel dalam tiga bekas dari stesen yang sama selama bertahun-tahun tanpa masalah, akhirnya terpaksa meminta kakitangan memeriksa muatan kenderaannya apabila permohonan membeli bahan api bernilai 2,000 baht (RM245.75) ditolak buat kali kedua pada Ahad.
Preecha menegaskan bahawa ini adalah kali pertama beliau terpaksa bertindak sedemikian dan memahami langkah pihak stesen yang cuba menghalang aktiviti menyorok bekalan, namun, menegaskan keperluannya adalah benar-benar tulen.
Thailand, sama seperti negara jiran di Asia, sangat bergantung kepada eksport tenaga dari Asia Barat dan kini berada di barisan hadapan krisis tenaga akibat peperangan tersebut.
Keadaan semakin meruncing apabila kerajaan menamatkan subsidi bahan api dan menaikkan harga diesel kepada 38.94 baht (RM4.78) seliter berbanding 29.94 baht (RM3.67) sebelum perang.
Meskipun banyak kawasan kini menyaksikan barisan panjang dan papan tanda ‘stok habis’ di pam minyak, kerajaan Thailand tetap menyatakan bahawa simpanan tenaga negara masih mencukupi untuk tempoh 100 hari. – AGENSI










