BERA: Polis memburu empat suspek kerana disyaki terlibat dalam kes tetak seorang lelaki di sebuah kedai di Jalan Besar Mengkuang, Triang, Bera, Ahad lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.16 malam itu, seorang lelaki berusia 35 tahun parah selepas ditetak menggunakan parang oleh empat lelaki.
Mangsa dilaporkan diserang secara tiba-tiba oleh kumpulan suspek sebelum mereka melarikan diri menggunakan sebuah kereta.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 12.46 tengah malam semalam.
“Akibat serangan tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah. Mangsa pada awalnya menerima rawatan di Hospital Bera sebelum dirujuk ke Hospital Temerloh untuk rawatan lanjut dan masih tidak sedarkan diri,” katanya.
Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata berbahaya.
“Kesemua suspek yang terlibat dipercayai mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah. Polis sedang giat mengesan mereka,” ujarnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Muhamad Zulhilmi Ishak di talian 014-2250306 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Bera di talian 09-2508222. – UTUSAN










