MELAKA: Selepas 32 tahun, penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang mahu anak tempatan diberi ruang menjadi calon Barisan Nasional (BN) untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.
Ini kerana, sejak pilihan raya umum pada 1982 hingga kini, kesemua enam calon daripada UMNO yang bertanding di situ datangnya dari luar Sungai Udang dan bukannya penduduk tempatan.
Enam mereka ialah Allahyarham Tan Sri Ahmad Nordin Mohd. Amin (1982-1990), Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam (1990-1995), Datuk Nordin Yaani (1995-1999), Datuk Ab. Karim Ab. Sulaiman (1999-2004), Datuk Yaakob Md. Amin (2004-2012) dan Datuk Seri Idris Haron (2013-kini).
Berkongsi dengan Utusan Malaysia, seorang penduduk dari Kampung Anak Ayer, Aziz Jaafar, 58, berkata, sudah tiba masanya calon dalam kalangan penduduk di Sungai Udang diberi peluang bertanding pada PRU-15.
“Sejak 1982 enam yang bertanding menetap di Klebang, Masjid Tanah, Bukit Katil dan Alor Gajah, tidak ada langsung calon penduduk tempatan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Kata Aziz, apabila bukan calon dari DUN Sungai Udang yang bertanding, susah penduduk ingin berjumpa mereka sekiranya berdepan masalah memandangkan mereka bukan penduduk tetap.

Bagi Jamaluddin Edar, 65, dari Kampung Bertam Hulu pula, dia turut menyokong agar penduduk tempatan diberi peluang menjadi wakil rakyat buat pertama kalinya.
“Kalau dilihat dari segi akademik, keperibadian dan disenangi masyarakat setempat, ada penduduk di Sungai Udang mempunyai kriteria itu untuk dicalonkan bertanding pada PRU-15,” ujarnya.
Justeru katanya, sudah tiba masanya pucuk pimpinan tertinggi UMNO memberi peluang kepada calon penduduk tempatan bertanding pada pilihan raya itu.

Sementara itu, seorang pesara, Borhan Mohd. Salleh, 62, dari Tanjong Minyak Perdana berkata, penduduk di Sungai Udang kali ini berhak dipilih sebagai calon wakil rakyat kawasan itu.
“Enam calon yang bertanding sebelum ini adalah orang luar dari Sungai Udang dan saya berharap berilah peluang kepada penduduk tempatan kali ini,” ujarnya.
Beliau menambah, jika penduduk tempatan dipilih adalah lebih mudah masyarakat untuk berurusan berbanding sebelum ini wakil rakyat menetap jauh dari Sungai Udang. – UTUSAN










