Belia Melayu paling ramai ditangkap kes dadah - Utusan Malaysia

Belia Melayu paling ramai ditangkap kes dadah

AYOB Khan Mydin Pitchay (tengah) menyaksikan serah terima tugas Razimi Ahmad (kiri) kepada Alzafny Ahmad (kanan) dalam Majlis Serah Terima Tugas Auditorium Aras 2, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di Johor Bahru semalam. - FOTO/BAAZLAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Golongan belia Melayu merupakan yang paling ramai ditahan polis di negeri ini bagi kesalahan berkaitan dadah sejak awal tahun hingga 17 November lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sepanjang tempoh itu, seramai 4,176 belia Melayu berusia 19 hingga 30 tahun ditahan daripada jumlah keseluruhan seramai 6,141 individu.

Katanya, mengikut pecahan tersebut, turut ditahan ialah belia berbangsa Cina seramai 930 individu diikuti 515 belia India dan selebihnya adalah lain-lain bangsa seramai 520 orang. 

Tambahnya, bagi pecahan kesalahan, mereka yang ditahan adalah pembekal dadah (848), memiliki (1,911) dan ujian air kencing (3,382).

“Bermula 1 Januari hingga 17 November lalu, kita telah mẹmbuat tangkapan seramai 17,349 individu atas pelbagai kesalahan dadah. Daripada jumlah itu 6,141 orang iaitu 35.39 peratus adalah belia berusia 19 hingga 30 tahun.

“Dalam tempoh yang sama, polis juga berjaya membuat rampasan pelbagai jenis dadah seberat 2.61 tan dengan nilai keseluruhan rampasan bernilai RM28.77 juta. Turut dirampas adalah harta bernilai RM13.42 juta,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Johor antara Senior Asisten Komisioner Razimi Ahmad kepada Senior Asisten Komisioner Alzafny Ahmad.

Dalam pada itu, Ayob Khan memberitahu, pasukan polis dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis daerah Kulai menahan lima lelaki berumur 17 hingga 19 tahun dalam keadaan mencurigakan di sekitar Taman Permainan Bandar Putra Kulai, pada 12.43 tengah malam, semalam. 

Katanya, pemeriksaan ke atas lima individu termasuk tiga pelajar sekolah itu berjaya menjumpai dadah jenis ganja seberat 3.29 gram bernilai RM164.

“Hasil saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis Tetrahudrocannabinol (THC). Semakan rekod ke atas semua suspek tidak mempunyai rekod lampau.

“Hasil soal siasat terhadap tiga pelajar ini, kita menahan seorang lelaki berusia 23 tahun yang merupakan pembekal dadah kepada pelajar terbabit.

“Polis Johor berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka bagi membantu pihak polis membanteras penyalahgunaan dadah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.