Beli cincin, hajat bertunang tidak kesampaian - Utusan Malaysia

Beli cincin, hajat bertunang tidak kesampaian

ABDUL Ruzak Hussin (kiri) ditemani isterinya Ramlah Zainal Abidin (tengah) dan anaknya menunjukkan gambar Mohammad Uzair Nasaie di rumahnya di Taman Bukit Baru di Bentong, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Kegembiraan sebuah keluarga yang bersedia menghantar pinangan anak lelaki mereka tidak kesampaian apabila anak kedua daripada lapan beradik itu maut selepas dirempuh sebuah kereta ketika menunggang motosikal di Jalan Haji Ahmad di Kuantan, Sabtu lalu.

Dalam kejadian berkenaan mangsa, Mohammad Uzair Nasaie Abdul Ruzak, 28, yang menunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian selepas dirempuh kereta jenis Toyota Camry yang dikatakan masuk ke laluan bertentangan.

Lebih menyedihkan semasa kejadian tunang mangsa yang bergegas ke tempat kejadian hanya mampu melihat dan meratapi sekujur tubuh mangsa yang sudah tidak bernyawa.

Bapa mangsa, Abdul Ruzak Hussin, 56, berkata, meskipun reda dengan ketentuan Ilahi, keluarganya terkilan kerana hajat anaknya itu untuk bertunang dengan gadis pilihannya tidak kesampaian.

“Semasa kejadian dia baru pulang kerja dan mahu pergi minum bersama bakal tunangnya di sebuah kedai makan sebelum tunangnya mendapat panggilan daripada polis tentang kemalangan itu dan bergegas ke tempat kejadian.

“Pada sebelah petang dia ada menelefon ibunya meminta ibunya jaga diri dan menyatakan kalau dia ada hutang dia hendak bayar dan merancang bertunang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Bukit Indah di sini semalam.

Menurut Abdul Ruzak, Mohammad Uzair Nasaie yang suka bekerja sendiri dan membuka sebuah kedai gunting rambut di Kuantan sering mengambil berat tentang adik beradik dan ibu bapanya.

Beliau berkata, keluarganya reda dengan kejadian dan menyerahkan kepada pihak berkuasa melakukan siasatan dan tindakan mengikut lunas undang-undang dalam isu berkenaan.

“Anak saya sudah tiada dan takdirnya begitu. Saya juga tidak akan dapat kembalikan anak saya kerana nyata nyawa tidak boleh diganti, saya serahkan segalanya kepada pihak berkuasa.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuklah semua kariah di Masjid Bukit Setongkol, surau Bukit Ubi dan Masjid Kampung Baru Bentong yang membantu menguruskan jenazah yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Marong,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintenden Kamarulzaman Jusoh berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pemandu kereta berkenaan ditahan reman sehingga esok bagi membantu siasatan.

Katanya, polis juga masih menunggu laporan kimia bagi melihat sama ada pemandu kereta jenis Toyota Camry Hybrid berusia 32 tahun itu berada dalam pengaruh alkohol ataupun tidak. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya