Bekas pegawai DBKL bebas hukuman penjara - Utusan Malaysia

Bekas pegawai DBKL bebas hukuman penjara

Syed Afendy Ali Syed Abid
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah Eksekutif (Pengurusan Projek) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Seri Syed Afendy Ali Syed Abid menangis dan melakukan sujud syukur di Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mahkamah melepaskannya daripada hukuman penjara lapan bulan atas kesalahan salah guna kedudukannya, tujuh tahun lalu.

Hakim Collin Lawrence Sequerah turut memerintahkan agar denda RM80,000 dipulangkan.

 Mahkamah memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan intipati pertuduhan kes itu. Syed Afendy Ali memfailkan rayuan terhadap sabitan salah dan hukuman penjara serta denda selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Sesyen di sini pada 20 Mac 2018.

“Selepas meneliti hujahan dan bukti yang dikemukakan, mahkamah mendapati pendakwaan gagal membuktikan bahawa perayu (Syed Afendy Ali) telah mendapatkan hartanah untuk ahli keluarganya yang dinyatakan dalam pertuduhan secara percuma.

“Oleh itu, tanggapan salah mengikut seksyen tersebut telah gagal dibuktikan. Rayuan perayu dibenarkan dan denda dipulangkan kepada perayu,”kata Hakim Sequerah ketika membaca penghakiman ringkasnya.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norzilati Izhani Zainal @ Zainol manakala perayu diwakili peguam bela, Hamidi Mohd. Noh.

Pada 20 Mac 2018, Syed Afendy Ali dijatuhi hukuman penjara lapan bulan dan denda RM80,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah atas lapan tuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan lapan unit kondominium kesemuanya bernilai hampir RM2 juta.

Aset tersebut masing-masing bernilai RM249,990 daripada syarikat Danau Lumayan Sdn. Bhd. adalah untuk empat individu iaitu Minah Abdullah, Mazwan Amin Mohd. Noor, Syed Ashraf Ali Syed Afendy Ali dan Rodziah Abd. Samad yang merupakan ahli keluarganya.

Pada tarikh sama, Mahkamah Sesyen turut melepas dan membebaskan Syed Afendy Ali daripada pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan satu unit kedai pejabat tiga tingkat di Pusat Perdagangan Danau Lumayan Avevue, Bandar Tun Razak bernilai RM930,000 daripada syarikat Danau Lumayan untuk Rodziah.

Tertuduh turut dilepas dan dibebaskan daripada sembilan pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001 (Akta 613) membabitkan RM1.5 juta. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.