1,245 penghuni ILKKM telah disaring - Utusan Malaysia

1,245 penghuni ILKKM telah disaring

PEMERIKSAAN ketat dilakukan oleh pihak keselamatan ketika memasuki Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPB) di ILKKM , Kempas disini. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seramai 1,245 daripada 1,559 penghuni Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) telah menjalani ujian saringan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, R. Vidyananthan berkata, mereka yang terlibat terdiri daripada pelatih, kakitangan, ahli keluarga dan pekerja sokongan pusat latihan itu.

Katanya, ILKKM telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula semalam hingga 16 November.

“Sepanjang tempoh itu, semua penghuni tidak dibenarkan meninggalkan bilik atau kuarters kediaman masing-masing manakala makanan dan kit keperluan akan disediakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata Vidyananthan, sehingga semalam, kumulatif kes positif bagi kluster Kempas adalah sebanyak 54 yang melibatkan lapan rakan sekerja, 21 ahli keluarga mereka, 11 rakan sekerja ahli keluarga mereka, 13 pelajar dan seorang ahli keluarganya.

Sementara itu, Vidyananthan meminta masyarakat untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan mengikut norm baharu seperti penjarakan fizikal, pemakaian pelitup hidung dan mulut serta kerap membasuh tangan.

“Adalah diharapkan semua pihak dapat bertenang dan tidak menimbulkan panik di kalangan umum dengan menyebarkan maklumat-maklumat yang kurang tepat,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya