Utamakan pekerja tempatan tidak jejas aliran FDI - Utusan Malaysia

Utamakan pekerja tempatan tidak jejas aliran FDI

M. SARAVANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Langkah kerajaan memastikan majikan mengutamakan pengambilan pekerja tempatan tidak akan menjejaskan aliran pelaburan langsung asing (FDI) di negara ini sebagaimana dakwaan pihak tertentu.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, sebaliknya itu merupakan langkah positif apabila mensyaratkan penghebahan kekosongan jawatan di portal pekerjaan nasional, MYFutureJobs dibuat bagi memudahkan pengambilan bakat tempatan.

Katanya, bagaimanapum langkah itu tidak bermakna kerajaan menolak permohonan majikan sekiranya terdapat justifikasi kukuh jawatan tersebut perlu diisi bukan warganegara.

“Majikan diminta mengadakan temuduga bagi menilai kesesuaian calon tempatan untuk jawatan yang diiklankan sebagai prasyarat dalam memohon pekerja asing atau pegawai dagang.

“Pihak kementerian tidak akan mencampuri urusan sesi temuduga tersebut. Majikan hanya perlu melaporkan hasil temuduga yang dijalankan bagi menyokong permohonan menggajikan pekerja asing atau pegawai dagang,” katanya dalam kenyataan di sini.

Baru-baru ini, The Centre for Market Education (CME) menyatakan kebimbangan berkaitan dengan penggajian dan penggajian semula pekerja asing dan pegawai dagang selepas kementerian mewujudkan portal pencarian pekerjaan baharu supaya pengambilan pekerja tempatan diutamakan.

Menurut Saravanan, banyak kelebihan jika menggajikan pekerja tempatan dalam kalangan bakat-bakat tempatan yang berpengalaman dan berdaya saing di pasaran. 

Katanya, selain memahami bahasa dan budaya setempat, mereka mempunyai pengetahuan dalam pasaran tempatan, jaringan kenalan perniagaan serta berkelebihan dalam berinteraksi dengan pelanggan sekali gus amat berguna jika majikan merancang mengembangkan operasi ke rantau Asia.

“Majikan dapat memanfaatkan Insentif Pengambilan Pekerja di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) jika menggajikan pekerja tempatan dan layak mendapat insentif sehingga RM1,000 bagi setiap pekerja sehingga tempoh enam bulan.

“Majikan juga berpeluang meningkatkan kemahiran bakat-bakat tempatan atau memberi kemahiran lain menerusi kursus-kursus berkaitan daripada 5,000 kursus yang ditawarkan, tanpa mengeluarkan sebarang kos,” katanya.

Saravanan menambah, pendekatan itu jelas merupakan situasi menang-menang bagi pencari kerja tempatan dan majikan, termasuk syarikat multinasional di Malaysia apatah lagi kadar pengangguran di negara ini semakin meningkat apabila sekitar 300,000 graduan baharu memasuki pasaran pekerjaan tahun ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN