UiTM Pahang sedia 20 hektar tanah untuk program skim latihan aperantis tani - Utusan Malaysia

UiTM Pahang sedia 20 hektar tanah untuk program skim latihan aperantis tani

MOHD. Ilham Adenan (tengah) dan Wan Norizan Wan Badaruzzaman  (dua dari kiri) melihat projek fertigasi Rock Melon dihasilkan penuntut di UiTM Pahang, Kampus Jengka semalam. -UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Pahang Kampus Jengka menyediakan kawasan seluas 20.234 hektar untuk program skim latihan aperantis tani kepada 50 mahasiswanya.

Rektornya, Prof. Dr. Mohd. Ilham Adenan berkata, setiap peserta dari Fakulti Agroteknologi dan   Perladangan memperolehi tanah kira-kira 0.5 hektar untuk melaksanakan projek masing-masing. 

Tambahnya, antara dicadangkan penanaman ialah nanas, serai, fertigasi rock melon, hidroponik dan ternakan madu kelulut yang mana semuanya mendapat permintaan tinggi di pasaran tempatan.

Katanya, sebagai galakan, para peserta yang terpilih diberi insentif RM800 sebulan selama setahun bagi menampung perbelanjaan kos projek.

“Misi UiTM Jengka adalah mendidik dan melatih penuntut di lapangan dengan kemahiran pertanian moden supaya kebolehpasaran dimiliki dapat bersaing dalam industri.

“Di samping itu, ia bagi membantu meningkatkan nilai keusahawanan dan asas tani dalam kalangan siswa serta mendorong kelahiran usahawan tani yang moden, dinamik dan berdaya saing,” katanya kepada pemberita selepas lawatan sekitar perladangan Kampus UiTM Cawangan Pahang yang turut dihadiri Setiausaha Majlis Daerah Maran, Wan Norizan Wan Badaruzzaman di sini semalam. 

Mengulas lanjut, Dr. Mohd. Ilham berkata, skim latihan aperantis tani UiTM bagi membantu mahasiswa meningkatkan kemahiran di lapangan menerusi projek dilaksanakan.

“UiTM Cawangan Pahang kampus Jengka mempunyai keluasan tanah kira-kira 400 hektar yang mana sebahagiannya digunakan untuk pelbagai projek pertanian seperi kelapa sawit, getah, dan buah-buahan,” katanya.

Menurutnya, institusi pengajian tinggi (IPT) itu juga berhasrat untuk mengkomersialkan tanaman vanila kerana potensinya mendapat permintaan tinggi di pasaran tempatan dan luar negara.

“Bagaimanapun, pihak universiti memerlukan kepakaran penanam sedia ada sebagai mentor kepada peserta projek ini,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.