KOTA BHARU: Penjawat awam diingatkan supaya tidak sama sekali terlibat dalam pembelian dan menggunakan kenderaan klon bagi mengelak dikenakan tindakan tata tertib.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Hanif Yusabra Yusuf berkata, tindakan itu akan diambil majikan tempat penjawat awam itu bertugas.
“Jika kita dapat mengesan penjawat awam memiliki dan menggunakan kenderaan klon, kita akan mengeluarkan saman dan jika didapati bersalah di mahkamah tindakan melaporkan kepada majikan masing-masing akan dilakukan.
“Pada masa sama pihak majikan boleh mengenakan tindakan tata tertib terhadap pekerjanya.
“Jadi kita ingatkan penjawat awam supaya jangan sesekali melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 7 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh didenda tidak kurang RM2,000 dan tidak lebih RM10,000 dan bagi kesalahan Seksyen 108(3)(f) akta sama boleh didenda tidak lebih RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang setahun dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lelongan awam kenderaan sita JPJ Kelantan Bilangan 1 Tahun 2020 di Pejabat JPJ, Panji di sini semalam.
Hanif Yusabra berkata, bagaimanapun setakat ini tiada penjawat awam dikesan memiliki dan menggunakan kereta klon.
Katanya, kereta klon boleh memberi implikasi kepada pemandu atau penumpang jika berlaku kemalangan kerana tidak dilindungi insurans.
“Kereta klon digunakan golongan berusia 35 hingga 45 tahun dengan membeli kenderaan menerusi laman web yang diperoleh dari Singapura serendah RM4,500.
“Sejak 2011, sebanyak 204 kereta klon disita dan tujuh individu ditahan manakala 21 kes dihadapkan di mahkamah melibatkan denda RM379,300,” katanya.
Tambahnya, JPJ sentiasa melakukan operasi kenderaan klon bagi mengenal pasti pemandu yang melakukan kesalahan. – UTUSAN ONLINE