Temco di Lahad Datu, PKPB di Kota Belud - Utusan Malaysia

Temco di Lahad Datu, PKPB di Kota Belud

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (Temco) akan dilaksanakan di Lahad Datu, Sabah melibatkan Taman Khazanah Indah dan PPR Mutiara Kasih berkuat kuasa 13 Oktober sehingga 26 Oktober nanti.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan Temco itu akan melibatkan seramai 5,452 penduduk susulan terdapat kes positif Covid-19 di kawasan tersebut.

Katanya, melalui perintah itu semua individu dikehendaki mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan antaranya semua penduduk di kawasan terlibat tidak dibenarkan keluar daripada rumah masing-masing.

“Semua laluan keluar masuk kawasan Temco ditutup. Bagi kes kecemasan seperti sakit dan kematian, mereka dibenarkan keluar zon tetapi perlu mengemukakan permohonan pergerakan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kementerian Kesihatan (KKM) akan melakukan saringan secara bersasar kepada semua penduduk yang terlibat. Bekalan keperluan makanan akan diagihkan oleh kerajaan negeri yang akan dikoordinasi Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri. Maklumat lanjut dan SOP berkaitan boleh dirujuk dalam laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya dalam sidang akhbar harian PKP Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

Beliau berkata, bagi memastikan pematuhan perintah itu, PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), pihak berkuasa tempatan dan pegawai yang diberi kuasa akan mengawal seluruh kawasan terlibat.

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri berkata, kerajaan bersetuju melaksanakan PKP Bersyarat (PKPB) di Kota Belud, Sabah berkuat kuasa pada tarikh dan masa yang sama.

Jelasnya, perintah itu susulan KKM mengesahkan terdapat peningkatan kes positif Covid-19 dan pelaksanaan PKPB itu bagi membendung jangkitan serta penularan wabak dalam daerah tersebut sekali gus membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dapat dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari.

Oleh itu, katanya, hanya dua orang sahaja dari sebuah rumah dibenarkan keluar bagi tujuan mendapatkan bekalan makanan atau keperluan harian.

“Sektor ekonomi berkaitan perkhidmatan perlu termasuk kilang-kilang dan rantaian yang berkaitan dalam perkhidmatan perlu, perikanan, perladangan serta pertanian adalah dibenarkan. Pasar borong, pasar tani, kedai barang keperluan, kedai runcit juga dibenarkan beroperasi.

“Kedai-kedai makan, warung juga boleh dibuka tetapi terhad untuk pembelian secara pandu lalu, penghantaran serta bawa pulang. Manakala, farmasi dan klinik juga dibenarkan beroperasi. Namun begitu, semua sekolah, tadika, institusi pengajian tinggi, masjid dan rumah ibadat lain ditutup sepanjang tempoh ini. Aktiviti sukan, rekreasi, sosial dan budaya adalah tidak dibenarkan,” katanya.  -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya