JERANTUT: Taman Negara Kuala Tahan di sini bagaikan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana memberi kesan kepada pengusaha pelancongan yang kini sifar pendapatan.
Penutupan Taman Negara sejak 6 Oktober lalu melalui notis sehari sebelum itu menyebabkan pengusaha pelancongan termasuk pengusaha resort, chalet, pemandu pelancong, pemilik bot penambang dan pemilik kedai makan hilang pendapatan sekelip mata.
Pengusaha inap desa Tebing Rest House, Mohd. Abdul Rani berkata, seluruh pengusaha perniagaan pelancongan dan penduduk Taman Negara kini hilang pendapatan dan sukar menyara kehidupan.
“Sebelum ini saya ada enam pekerja dan lepas PKP tinggal seorang sahaja yang mampu diambil untuk bangkit kembali, tetapi kini penutupan Taman Negara secara mengejut menyebabkan sekali lagi saya terkesan teruk dan pendapatan saya kini kosong.
“Lebih membebankan saya perlu juga membayar pinjaman perniagaan RM3,300 sebulan dan kos-kos lain.
“Saya buntu kerana tiada sumber pendapatan selain mencari rezeki menerusi industri pelancongan,” katanya di sini semalam.
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sebelum ini memaklumkan penutupan sementara kesemua kemudahan awam kelolaan jabatan itu bermula Selasa lalu hingga diberitahu kelak.
Menurut Mohd. Abdul, dia dan pengusaha pelancongan lain masing-masing menunggu pembukaan semula Taman Negara.
Katanya, penutupan Taman Negara turut menyaksikan operasi 110 bot penambang terhenti dan menjejaskan pendapatan lebih 100 penduduk tempatan.
“Saya merayu pihak berkenaan memberikan kelonggaran membuka semula Taman Negara kerana di sini belum ada kes Covid-19 malah kami juga mengamalkan prosedur operasi standard (SOP),” katanya.
Sementara itu, Pengurus Mutiara Resort Taman Negara (MRTN), Sabri Abdullah berkata, penutupan berkenaan menyebabkan MRTN yang mempunyai 120 pekerja dengan purata bayaran gaji kira-kira RM300,000 sebulan terpaksa beroperasi dalam keadaan rugi selepas pembatalan tempahan oleh pengunjung. – UTUSAN










