Syukuri boleh amal ajaran Islam dengan aman di Malaysia - Utusan Malaysia

Syukuri boleh amal ajaran Islam dengan aman di Malaysia

Datuk Dr. Mustapha Ahmad Merican
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Rakyat negara ini terutama umat Islam seharusnya bersyukur kerana mereka mudah mengamalkan ajaran Islam berbanding negara-negara lain yang bergolak.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penerima utama Anugerah Khas Semarak Cinta Rasul sempena Maulidur Rasul 1442H/2020, Datuk Dr. Mustapha Ahmad Merican berkata, sepanjang misi kemanusiaan di negara luar, banyak iktibar boleh diambil rakyat Malaysia yang dilimpahi kemewahan tanpa perlu bersusah payah mengamalkan ajaran Islam.

Pengerusi Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Antarabangsa itu berkata, pada peringkat awal misinya ke Kemboja, umat Islam negara itu berebut-rebut untuk membaca al-Quran dan mereka perlu membuat salinan fotostat semata-mata mahu membacanya.

Beliau turut menceritakan bagaimana susahnya mereka mendapatkan bekalan air bersih dan terpaksa mengambil air sungai serta menadah air hujan selain tempat ibadat yang usang apatah lagi ketiadaan kelengkapan untuk beribadah.

“Pada bulan Ramadan, buah kurma pun tidak ada sedangkan Malaysia amat mewah. Ini iktibar walaupun negara tersebut agak baik melayani orang Islam tetapi kemudahan untuk orang Islam tidak banyak.

“Bagaimanapun, kita amat berbangga apabila Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen membenarkan setiap tempat di jabatan kerajaan, lapangan terbang malah di hotel-hotel dibina surau. Walaupun di sana orang Islam minoriti tetapi mereka mengambil dasar-dasar yang diamalkan di negara kita,” katanya yang turut pernah menerima Anugerah Tokoh NGO Antarabangsa daripada Hun Sen.

Mustapha bertekad terus memberi komitmen untuk berkhidmat membantu umat Islam di luar negara dan perlu membuktikan amanah kepadanya itu sebagai orang yang memperjuangkan hak-hak kemanusiaan sejagat sehingga akhir hayat.

Beliau berkata, pengiktirafan kerajaan itu juga sebagai perangsang untuk kekal bersemangat dalam usaha penyatuan umat Islam terutama di negara-negara ASEAN berpaksikan ajaran Rasulullah SAW sejak 22 tahun menjalankan misi itu.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru NGO lain menjaga imej negara dengan baik sewaktu menjalankan misi ke luar negara dan tidak boleh menjadi pembangkang sebaliknya membantu kerajaan dalam urusan tadbir urus negara lebih baik.

Beliau turut memberitahu, banyak lagi misi kemanusiaan yang tertangguh akibat Covid-19 seperti membina masjid di Laos, menubuhkan pusat Islam di Filipina selain melaksanakan misi pendamai di Selatan Thailand.

Mustapha juga pernah terlibat dalam rundingan diplomatik dan perhubungan persahabatan untuk pembebasan 47 tahanan rakyat Malaysia dari Penjara Kemboja pada Februari 2019 selain memberi bantuan kebajikan dan menaik taraf masjid dan surau di negara Islam serantau. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×